Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga hartanah komersial, kediaman berhampiran RTS mula melambung

Jan 9, 2026 | 5:49 PM
Kenaikan harga hartanah sebahagian besarnya disokong oleh jangkaan peningkatan jumlah pengunjung, kesalinghubungan yang lebih lancar antara Johor dan Singapura.
Kenaikan harga hartanah sebahagian besarnya disokong oleh jangkaan peningkatan jumlah pengunjung, kesalinghubungan yang lebih lancar antara Johor dan Singapura. - Foto Fail

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah Johor menunjukkan tanda-tanda lonjakan awal apabila aset komersial dan kediaman bertingkat tinggi berhampiran jajaran Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor–Singapura mula mencatat kenaikan nilai meskipun projek mega itu hanya dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2026.

Fenomena itu mencerminkan peralihan sentimen pasaran yang lebih awal daripada jangkaan, didorong unjuran peningkatan aliran rentas sempadan, mobiliti tenaga kerja serta pertumbuhan aktiviti perniagaan sebaik RTS mula beroperasi.

Pemerhatian Maybank Investment Bank (Maybank IB) mendapati, harga hartanah komersial dan bangunan bertingkat tinggi berhampiran stesen RTS kini melebihi RM1,200 ($379) kaki persegi, sekali gus menandakan proses penilaian semula sudah bermula dalam kalangan pelabur dan pemaju.

Menurutnya, kenaikan itu sebahagian besarnya disokong oleh jangkaan peningkatan jumlah pengunjung, kesalinghubungan yang lebih lancar antara Johor dan Singapura, serta pertambahan intensiti komersial di kawasan sekitar stesen RTS.

“Tinjauan tapak terkini ke Johor turut memperlihatkan aktiviti ekonomi di lapangan yang kukuh, dengan pusat beli-belah utama dipenuhi pengunjung, khususnya dari Singapura, sekali gus menyokong naratif perbelanjaan rentas sempadan yang berterusan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Menurut bank pelaburan itu, perkembangan sedemikian turut mencerminkan pemulihan keyakinan pengguna dan daya tahan permintaan domestik, walaupun berdepan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

Selain sektor runcit, landskap pembangunan bandar Johor Bahru turut menunjukkan perubahan ketara apabila beberapa projek yang sebelum ini terbengkalai atau terhenti kini diaktifkan semula, lapor Berita Harian Malaysia.

Antaranya ialah projek Jade Palace milik Greenland yang sebelum ini terhenti, kini diambil alih oleh MB World Group dan dijenamakan semula sebagai MBW Bay, menandakan minat baru pemaju untuk menghidupkan semula aset strategik.

Pada masa sama, aktiviti pembinaan baru dilihat giat di beberapa lokasi utama bandar, mencerminkan peningkatan keyakinan dalam kalangan pemaju terhadap prospek pasaran Johor dalam jangka sederhana hingga panjang.

RTS dijangka menjadi pemangkin utama kepada integrasi pasaran buruh, corak perbelanjaan dan ekosistem perniagaan antara Johor dan Singapura, sekali gus merangsang permintaan hartanah di kawasan strategik.

Dalam konteks lebih luas, situasi ini mengukuhkan pandangan positif terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang kini dilihat memasuki tahap transformasi dengan sokongan prasarana dan dasar kerajaan.

Bagaimanapun, pemerhati berpandangan bahawa kelestarian permintaan jangka panjang, khususnya bagi segmen kediaman bertingkat tinggi masih bergantung kepada penciptaan pekerjaan, kemampuan sewaan dan kedalaman pasaran penyewa selepas RTS beroperasi.

Johor kini berada dalam peringkat peralihan bandar yang lebih dinamik, dengan tahap keterangkuman ekonomi dan daya tarikan pelaburan yang semakin meningkat, menjadikannya antara pasaran hartanah paling menjadi perhatian menjelang 2027.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg