Hubungan Singapura dengan Malaysia adalah rumit dengan sistem politik yang berbeza, namun ia tidak menghalang kedua-dua negara itu daripada hidup bersama dan bekerjasama, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Siapa sahaja yang membentuk kerajaan Malaysia, Singapura akan tetap bersedia untuk bekerjasama dengan mereka, begitu juga sebaliknya.
“Singapura adalah sebuah negara berbilang kaum dan kita mengamalkan asas kesaksamaan peluang serta meritokrasi.
“Manakala di Malaysia, sistem politik mereka berasaskan kaum dan dasar bumiputera – inilah perbezaan asas antara kedua-dua negara kita.
“Hubungan kita tetap rumit tetapi kita telah menemui cara untuk hidup bersama dan bekerjasama dan saya yakin kita akan terus melakukannya,” jelasnya.
Encik Lee berkata demikian menyusuli soalan yang ditanya mantan Ahli Parlimen (AP) Malaysia, Encik Ong Kian Ming, pada Forum Prospek Serantau (ROF) 2026 anjuran Iseas-Institut Yusof Ishak di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 8 Januari.
Encik Ong bertanya sama ada Pilihan Raya Umum 2018 Malaysia merupakan antara detik ‘angsa hitam’ atau peristiwa yang tidak dijangka tatkala Encik Lee menjadi Perdana Menteri Singapura dari 2004 hingga 2024.
Ketika itu, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencatat kemenangan bersejarah dalam pilihan raya umum. Pada usia 92 tahun ketika itu, Dr Mahathir menewaskan gabungan Barisan Nasional (BN), yang telah memerintah selama 60 tahun.
Encik Lee berkata Singapura terus mengekalkan hubungan baik serta bekerjasama dengan Dr Mahathir.
Walaupun ketika itu terdapat sesetengah projek kerjasama yang diteliti semula, dengan sesetengah diteruskan, manakala sesetengah tidak diteruskan.
“Dasar luar sesebuah negara sentiasa bergantung kepada politik domestik.
“Jika politik domestik tidak menyokongnya atau tidak memberi ruang untuk membuat keputusan luaran yang besar, itulah hakikatnya dan kita terpaksa menunggu sehingga keadaan politik membolehkan perkara itu diteruskan.
“Sementara itu, kita hanya mengekalkan keadaan pada tahap yang stabil,” kata Encik Lee.
Pelbagai projek sudah pun dijalankan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link), dan Singapura akan terus menjaga hubungan ini, katanya.
“Terdapat bidang baru yang masih lagi kita bincangkan – mungkin sukar untuk diselesaikan – tetapi kita harap dapat ditangani tanpa menjejas hubungan ini,” ujar Encik Lee.
Mengalihkan perbincangan kepada isu serantau yang lebih luas, pengerusi lembaga pemegang amanah Iseas-Institut Yusof Ishak, Profesor Chan Heng Chee, yang juga merupakan moderator sesi tersebut, mengemukakan soalan mengenai isu keutamaan Asean atau ‘Asean centrality’.
Ini memandangkan Amerika Syarikat memainkan peranan besar dalam pusingan pertama usaha pengantaraan gencatan senjata dalam konflik sempadan Thailand-Kemboja, manakala China melakukannya di pusingan kedua.
“Asean mempunyai pengaruh terhadap negara anggotanya, tetapi ia tidak mempunyai pengaruh mutlak ke atas mereka,” kata Encik Lee sambil menambah, Asean bukan sebuah entiti supranasional yang boleh mengarah atau mengatasi keputusan negara anggotanya.
Beliau berkata pihak yang mempunyai kuasa paling besar ialah rakan dagang utama sesebuah negara, sambil menegaskan, tidak menghairankan jika kuasa besar seperti China dan Amerika mampu mempengaruhi, menggalakkan, menasihati, malah memaksa negara lain.
“Hakikatnya ialah kuasa luar mempunyai pengaruh ke atas negara Asean, dan Asean perlu terus bekerjasama walaupun berdepan hakikat tersebut, dan dalam banyak bidang, kita masih mampu berbuat demikian,” jelas Encik Lee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg