Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga lebih rendah, khidmat menyeluruh terus tarik pemandu S’pura servis kereta di JB

Selain ingin berjimat bagi penyelenggaraan tetap, ada pemandu S’pura pergi ke JB untuk ‘overhaul’ kereta supaya lebih tahan lama, dengan harga COE terus meningkat
Oct 19, 2025 | 5:30 AM
Pelanggan S’pura, bengkel, kedai cuci kereta Johor
Deretan kereta Singapura kini menjadi pemandangan biasa di bengkel dan pusat cuci kereta di Johor Bahru. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Sejak sempadan Malaysia-Singapura dibuka semula selepas pandemik Covid-19, kawasan perindustrian di sekitar Johor Bahru semakin sibuk dengan kehadiran kenderaan bernombor pendaftaran Singapura.

Deretan kereta negara ini menjadi pemandangan biasa di bengkel dan pusat cuci kereta, menandakan Johor terus menjadi pilihan warga Singapura bagi mendapatkan khidmat penyelenggaraan dan baik pulih pada harga lebih berpatutan.

Tinjauan Berita Minggu (BM) di beberapa bengkel mendapati rata-rata pengusaha tidak menang tangan melayan pelanggan yang semakin ramai, khususnya pada hujung minggu.

Mereka mengakui peningkatan ini berlaku sejak sempadan dibuka semula pada 2022, malah trendnya terus meningkat setiap tahun.

Menurut mereka, perbezaan kadar tukaran mata wang dan kos barangan ganti yang lebih rendah menjadi faktor utama mengapa ramai pemilik kereta Singapura memilih Johor.

Harga komponen import, upah kerja dan kos penyelenggaraan di Singapura adalah jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia, menyebabkan Johor menjadi alternatif utama bagi mereka yang mahu berjimat tanpa menjejas mutu kerja.

Malah ada pemilik bengkel yang memberitahu (BM) kos ‘buat’ kereta di JB tiga kali lebih rendah berbanding di Singapura.

Tidak hairan, sesetengah pemilik bengkel berkata warga Singapura merangkumi sehingga hampir separuh pelanggan tetap mereka.

Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang melonjak di Singapura juga memain peranan.

Pada 8 Oktober, harga COE bagi kenderaan Kategori A – bagi kereta lebih kecil dan kurang berkuasa serta kenderaan elektrik – mencecah harga rekod $128,105, peningkatan 7.6 peratus.

Ia adalah kali ketiga berturut-turut harga rekod dicatat bagi Kategori A.

Harga bagi kenderaan Kategori B pula, yang biasanya digunakan untuk mendaftar kereta lebih besar dan lebih berkuasa, serta kereta elektrik mencecah $141,000, peningkatan 3 peratus berbanding harga pada September.

Ia adalah harga tertinggi bagi Kategori B, selepas harga rekod iaitu $150,001 dicatat pada Oktober 2023.

Ini bermakna harga membeli kereta baru di Singapura telah bertambah, selepas mengambil kira harga COE.

Justeru, harga yang melambung telah mendorong sebahagian pemandu untuk memperbaharui bahagian kereta tertentu untuk memastikan kenderaan mereka boleh bertahan lebih lama dan tidak perlu diganti apabila COE luput selepas 10 tahun.

Pemilik Vagmim Garage, Encik Ahmad Syamim Faiz Sanusi, 34 tahun, berkata sejak sempadan dibuka semula, permintaan kerja besar seperti baik pulih enjin dan kotak gear meningkat ketara, terutama daripada pelanggan Singapura.

Pemilik Vagmim Garage, Encik Ahmad Syamim Faiz Sanusi, 34 tahun.
Pemilik Vagmim Garage, Encik Ahmad Syamim Faiz Sanusi, 34 tahun. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Ramai pelanggan Singapura datang sebab tahu barang ganti di sini jauh lebih rendah. Contohnya, kerja baik pulih penuh (overhaul) di bengkel saya sekitar RM2,000 ($612) hingga RM2,500, sedangkan di sana (Singapura) boleh mencecah tiga kali ganda,” katanya.

Namun, katanya, kebanyakan pelanggan Singapura tidak dapat meninggalkan kenderaan mereka lama kerana perlu pulang bekerja.

Oleh itu, pihak bengkel perlu menyiapkan kerja dalam tempoh sehari.

“Kalau perlu kerja lebih masa, kami maklumkan lebih awal dan kenakan caj tambahan yang setimpal. Namun caj asas kami tetap sama, tidak kira pelanggan tempatan atau Singapura,” katanya.

Encik Ahmad Syamim turut menolak dakwaan bahawa sesetengah bengkel mengenakan caj lebih tinggi terhadap warga Singapura.

Jelasnya, tuduhan sebegitu tidak adil dan sering timbul akibat salah faham atau gurauan dalam kalangan warganet.

Encik Ahmad Syamim (kanan) berkata mutu dan ketelitian kerja menjadi ukuran utama kepada pelanggan warga Singapura di bengkelnya yang terletak di Kawasan Perindustrian Pandan.
Encik Ahmad Syamim (kanan) berkata mutu dan ketelitian kerja menjadi ukuran utama kepada pelanggan warga Singapura di bengkelnya yang terletak di Kawasan Perindustrian Pandan. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Bagi saya, pelanggan tetap pelanggan. Kami cari rezeki halal, bukan ambil kesempatan. Tambahan, kerja kami banyak bergantung pada ketepatan masa dan tenaga.

“Kalau perlu kerja malam, caj tambahan itu sekadar menampung upah pekerja,” jelasnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa sebahagian besar pelanggan Singapura membawa kenderaan yang berusia antara lapan dengan 10 tahun, termasuk model Eropah seperti Volkswagen dan Audi yang memerlukan baik pulih mekatronik.

“Permintaan kerja yang rumit seperti ini ada setiap bulan. Ramai juga yang datang untuk prestasi kereta, bukan semata-mata menjimatkan kos,” ujarnya.

Di bengkel Redwork Motorsport yang dikendalikan Encik Mohd Azmi Abd Jalil, 41 tahun, prinsip kejujuran menjadi pegangan utama. Beliau berkata harga perkhidmatan di bengkelnya tidak pernah dibezakan antara pelanggan tempatan dengan Singapura.

Pengurus Redwork Motorsport, Encik Mohd Azmi Abd Jalil, 41 tahun.
Pengurus Redwork Motorsport, Encik Mohd Azmi Abd Jalil, 41 tahun. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Menurut Encik Mohd Azmi, pelanggan Singapura kini menyumbang kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan pelanggannya.

“Sejak 2024, boleh dikatakan setiap hari ada pelanggan Singapura datang. Mereka puas hati sebab servis cepat dan harga berpatutan,” katanya.

“Singapura atau Malaysia, saya ambil harga sama. Rezeki biar berkat. Saya mahu pelanggan datang lagi, bukan rasa tertipu,” katanya ketika ditemui BM.

Bengkelnya terkenal dengan kepakaran membaiki dan menala sistem penyerap hentak (absorber) serta brek.

Menurutnya, ramai pelanggan Singapura datang kerana perkhidmatan membaiki dan menyesuaikan alat penyerap hentak asal sukar diperoleh di Singapura.

“Di sana, kalau penyerap hentak rosak, mereka tukar baru. Tapi kami di sini boleh baiki semula pada harga lebih rendah. Itu sebab mereka datang ke Johor,” katanya sambil menjelaskan bahawa bengkel itu mampu menyiapkan empat kenderaan sehari bergantung pada jenis kerja.

Encik Mohd Azmi (kanan) berkata niatnya hanya mahu membantu memudahkan urusan pelanggan dan tidak melihat dari mana datangnya pelanggan tersebut.
Encik Mohd Azmi (kanan) berkata niatnya hanya mahu membantu memudahkan urusan pelanggan dan tidak melihat dari mana datangnya pelanggan tersebut. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Sementara itu, pengurus Rev Tuned Garage, Encik Mohammad Asri Devadas, 33 tahun, berkata kebanyakan pelanggan Singapura datang pada hujung minggu kerana hanya mempunyai masa lapang pada Sabtu dan Ahad.

Pengurus Rev Tuned Garage, Encik Mohammad Asri Devadas, 33 tahun.
Pengurus Rev Tuned Garage, Encik Mohammad Asri Devadas, 33 tahun. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Biasanya mereka datang untuk penyelenggaraan besar dan kecil. Untuk servis kecil, kita tukar minyak enjin, penapis dan periksa sistem brek.

“Untuk servis besar, kita tukar semua cecair seperti minyak gear, minyak brek, penyejuk dan tali sawat,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kos bagi servis kecil bermula sekitar RM200 bergantung pada jenis minyak dan model kenderaan.

“Untuk kereta Continental, kosnya lebih tinggi kerana penapis minyak dan sistem elektroniknya berbeza,” katanya.

Menurutnya lagi, pelanggan Singapura kebanyakannya mengetahui tentang bengkel itu melalui ulasan dalam talian dan perkongsian di media sosial

“Alhamdulillah, penilaian kami lima bintang di Google. Banyak pelanggan baru datang hasil saranan pelanggan lama,” katanya sambil menambah bahawa faktor kepercayaan dan mutu kerja menjadi kunci kepada pertumbuhan pelanggan rentas sempadan.

Fenomena peningkatan pelanggan Singapura bukan hanya di bengkel, malah turut dirasai oleh pengusaha cuci kereta.

Pengarah Southern Era Legend Sdn Bhd, Encik Nagaenthran Sugumaran, yang mengendalikan rangkaian Legend Car Wash, menegaskan prinsip utama perniagaannya adalah layanan adil tanpa membezakan pelanggan.

Pengarah Southern Era Legend Sdn Bhd, Encik Nagaenthran Sugumaran.
Pengarah Southern Era Legend Sdn Bhd, Encik Nagaenthran Sugumaran. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Sejak mula, dasar kami jelas, siapa datang dahulu, dilayan dahulu. Kami tidak membezakan pelanggan berdasarkan nombor pendaftaran atau asal mereka,” katanya.

Harga di rangkaian Legend Car Wash juga seragam, RM12 untuk kereta sedan; RM14 bagi kenderaan utiliti sukan sederhana; RM16 bagi kenderaan besar; dan RM20 bagi van persiaran, Alphard dan Vellfire.

“Kami tidak memaksa pelanggan memilih pakej tertentu. Mereka bebas tentukan sendiri perkhidmatan yang diinginkan,” katanya.

Cawangan utama Legend Car Wash berhampiran pusat pemeriksaan Woodlands menerima kira-kira 90 peratus pelanggan dari Singapura.

Menurut beliau, tindakan tegas pihak berkuasa tempatan terhadap premis yang didakwa mengamalkan layanan berbeza amat dialu-alukan.

“Langkah ini penting untuk menjaga integriti industri dan nama baik Johor,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengurus kedai cuci kenderaan di Taman Pelangi yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Man menjelaskan bahawa kejadian tular baru-baru ini berpunca daripada salah faham pelanggan warga Singapura.

“Pelanggan itu bawa bahan pencuci sendiri dan arahkan pekerja guna bahan tersebut. Tapi bahan itu bersifat menghakis dan boleh sebabkan rasa mual apabila dihidu. Kami tolak dan tawarkan guna bahan kami, tapi dia tak puas hati lalu rakam video,” katanya.

Beliau berkata kejadian itu disalah tafsir hingga menimbulkan dakwaan kononnya kedai cuci kereta berkenaan menolak pelanggan Singapura, sedangkan isu sebenar berkaitan keselamatan pekerja dan bahan kimia.

Kerajaan Johor turut menegaskan pendirian tegas terhadap mana-mana premis yang menafikan hak pelanggan tempatan atau asing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata pihak berkuasa tempatan akan diarahkan menyiasat dan tidak teragak-agak membatalkan lesen mana-mana pengusaha yang mengutamakan pelanggan asing mahupun tempatan secara berlebihan.

“Berniaga di Johor tapi tak memberi keutamaan kepada bangsa Johor, ini tidak boleh diterima.

“Kalau ada bukti mereka menolak pelanggan tempatan ataupun pelanggan asing, kita akan tarik lesen,” tegasnya.

Menurutnya, alasan bahawa pekerja asing membuat keputusan sendiri juga tidak boleh diterima kerana tanggungjawab mendidik pekerja memahami sentimen masyarakat tempatan terletak pada pemilik perniagaan.

“Walaupun pekerja itu warga asing, majikan mesti bimbing mereka supaya faham semangat bangsa Johor,” katanya.

Datuk Mohd Jafni turut mengingatkan peniaga agar tidak berniaga berasaskan keuntungan semata-mata.

“Kalau sudah untung lebih, kembalikan kepada masyarakat. Itu juga satu bentuk tanggungjawab sosial kepada negeri,” katanya. – Laporan tambahan Batrisyia Baharim

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg