Pada hujung minggu 20 hingga 21 September lalu, jeti dan persisiran laut di Pontian, Johor, menjadi saksi ribuan joran terhunus ke laut, diiringi debaran pemancing dari seluruh pelosok Malaysia serta negara jiran.
Ada yang datang bersama keluarga, ada yang hadir bersama kelab memancing, malah ada yang sanggup merantau beratus kilometer hanya kerana hobi yang sudah sebati dengan jiwa memancing.
Pertandingan Memancing Antarabangsa 2025 yang dianjurkan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) bersama Tourism Johor ternyata bukan sekadar pertandingan, tetapi medan yang menyatukan manusia daripada pelbagai latar belakang.
Lebih 1,500 peserta hadir, daripada pemancing veteran berusia hampir 70 tahun, hingga wanita yang baru mula berjinak dengan hobi ini.
Bagi Encik Azar Ni Azreen Samah, 39 tahun, dari Melaka, kemenangannya kali ini ibarat rezeki tidak diduga. Beliau yang sudah bertahun-tahun menyertai pelbagai pertandingan, akhirnya berjaya muncul juara keseluruhan selepas menaikkan ikan seberat 1.66 kilogram, sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000 ($15,334).
“Sejak kecil saya memang gemar memancing, tapi ini kali pertama meraih gelaran juara. Sebelum ini paling tinggi pun tempat ketiga.
“Saya anggap kemenangan ini rezeki Allah. Duit ini saya akan kongsi dengan rakan-rakan yang selalu menemani saya memancing kerana mereka banyak membantu,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Encik Azar menggunakan udang hidup sebagai umpan, sama seperti peserta lain. Tiada petua khusus, hanya kesabaran yang akhirnya membuahkan hasil.
Dalam kerumunan pemancing lelaki, kelibat Cik Mariam Anecio, 54 tahun, dari Pontian, menarik perhatian. Beliau mula memegang joran hanya pada 2023 setelah mengikuti suaminya, Encik Rosmi Yusuf, 56 tahun, ke beberapa lokasi memancing.
“Pada mulanya saya hanya menemani suami. Lama-kelamaan timbul minat. Bila memancing, rasa tenang. Kalau ada tekanan, saya lepaskan dengan melontar umpan ke laut. Setiap kali berjaya menaikkan ikan, kecil atau besar, tetap ada rasa kemenangan,” katanya.
Bagi Cik Mariam, memancing bukan sekadar hobi baru, tetapi cara menguatkan hubungan dengan suami yang selama ini gemar ke laut. Kini, beliau sudah menyertai beberapa pertandingan di Melaka, Perak dan Kedah, selain di Johor sendiri.
Pertandingan ini juga mendapat perhatian peserta dari Singapura. Encik Agmain Min, 58 tahun, yang berkata beliau mengetahui tentang acara ini melalui iklan di YouTube.
“Menantu ajak saya sertai. Memang kebetulan isteri saya orang Pontian, jadi pertandingan ini jadi alasan balik kampung sambil memancing. Di Singapura, pertandingan memancing tidak begitu banyak. Jadi acara seperti ini memang meriah,” katanya, yang merupakan salah seorang daripada kurang lebih 10 peserta Singapura.
Encik Agmain, yang sudah terbiasa memancing sejak kecil kerana ayahnya seorang nelayan, turut menyertai bersama abangnya, Encik Hamsan Min, 60 tahun. Baginya, pertandingan ini bukan sahaja peluang mengasah kemahiran, tetapi juga mengeratkan hubungan keluarga.
Hobi memancing juga menjadi warisan keluarga bagi Encik Arif Fahmi, 26 tahun, dari Pengerang, Johor. Beliau mula berjinak dengan joran sejak kecil apabila sering dibawa ayahnya ke laut.
“Memancing sudah sebati dengan jiwa. Setiap hujung minggu, kalau ada kesempatan, saya pasti turun ke laut. Sekarang saya ada kelab memancing dengan rakan-rakan sepejabat. Biasanya kami akan cari rumah rakit sepanjang Sungai Johor untuk memancing ikan air masin,” katanya.
Encik Arif, seorang kakitangan kerajaan, menganggap memancing bukan sekadar hobi, tetapi wadah persahabatan dan cara melarikan diri seketika daripada kesibukan kerja.
Bagi Encik Muhammad Ammar Alias, 35 tahun, pertandingan ini bukan sahaja medan pemancing, tetapi juga peluang perniagaan. Beliau mengusahakan jualan umpan segar seperti perumpun nipah, perumpun sarung, siput dan ruat bakau.
“Kami menjual antara RM11 hingga RM32 satu bungkusan, bergantung kepada saiz. Semua umpan segar dan hidup.
“Pemancing tidak perlu lagi bersusah payah masuk hutan atau kawasan bakau. Kami yang carikan dan sediakan. Permintaan memang tinggi terutama sempena pertandingan seperti ini,” jelasnya.
Encik Ammar melihat industri umpan berpotensi besar di Pontian kerana daerah ini semakin dikenali sebagai lokasi memancing utama di selatan tanah air.
Bagi peserta veteran, pertandingan ini bukan sekadar soal hadiah. Encik Zulkalnaini Hassan, 68 tahun, atau lebih mesra dikenali sebagai Pok Zul Kemaman, menganggap ia ruang untuk mengisi masa persaraan dengan aktiviti bermakna.
“Dulu waktu bekerja jarang dapat keluar. Sekarang apabila sudah pencen, lebih banyak masa untuk memancing bersama kawan lama. Kalau menang itu bonus, yang penting dapat berkumpul dan menikmati hobi ini,” katanya.
Nada sama diungkapkan Encik Harun Ahmad, 69 tahun, bekas pegawai kastam dari Kuantan.
“Memancing melatih kita jadi sabar. Dengan adanya kumpulan WhatsApp pemancing seluruh negara, kita mudah tahu bila ada pertandingan. Saya suka datang ke Johor kerana boleh singgah banyak masjid sepanjang jalan. Itu satu kepuasan, beribadah sambil menikmati hobi,” ujarnya.
Lebih 1,500 pemancing dari seluruh Malaysia, Singapura dan Indonesia berkumpul di Pusat Perdagangan Pontian bagi menyertai Pertandingan Memancing Antarabangsa 2025 yang berlangsung selama dua hari itu.
Penganjuran acara ini bukan sahaja mencatatkan rekod penyertaan yang membanggakan, malah turut menyerlahkan potensi daerah Pontian sebagai destinasi pelancongan baru berasaskan rekreasi laut.
Majlis perasmian disempurnakan Pegawai Daerah Pontian, Encik Kamalludin Jamal, dan disertai Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, serta Setiausaha MPPn, Encik Tifla Mohd Addi, yang juga Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan MPPn.
Encik Kamalludin berkata sambutan hangat terhadap acara ini membuktikan Pontian berpotensi menjadi lokasi tetap penganjuran pertandingan memancing berskala besar.
“Alhamdulillah, kita menerima penyertaan lebih 1,500 orang pemancing pada 2025 berbanding 1,000 orang pada 2024. Hadiah utama juga meningkat daripada RM20,000 kepada RM50,000, sekali gus menarik minat peserta dari pelbagai negeri di Malaysia dan juga luar negara.
“Kita berharap pertandingan ini dapat dijadikan acara tahunan kerana bukan sahaja mempromosikan Johor, tetapi juga mengangkat Pontian sebagai destinasi pelancongan.
“Pontian terkenal dengan laut yang indah, selain tarikan lain seperti Tanjung Piai, Taman Negara Ramsar Kukup dan keunikan masyarakat nelayannya,” katanya.
Pontian, yang terletak di hujung selatan tanah besar Asia, bukan sahaja kaya dengan hasil laut, bahkan mempunyai pantai sepanjang dua kilometer yang sesuai bagi kegiatan memancing. Spesies ikan seperti sembilang, pari, kurau dan belukang menjadi tarikan utama.
Sementara itu, Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul, menegaskan pertandingan tersebut menjadi sebahagian daripada acara persiapan menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
“Pertandingan memancing ini memberi kesan langsung kepada pelancongan dengan menarik ribuan peserta dan pelawat. Tahun depan (2026), kita akan teruskan acara ini dan memperbesarkan ganjaran serta tarikan tambahan.
“Tourism Johor juga sedang merancang pelbagai program lain termasuk pelancaran maskot dan lagu rasmi Tahun Melawat Johor pada Oktober depan, serta siri jelajah ke seluruh daerah bagi mempromosikan produk pelancongan Johor,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg