Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Helikopter tersasar haluan punca nahas korbankan 10 anggota TLDM

May 30, 2024 | 4:47 PM
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob (depan), menunjukkan satu video sepanjang tujuh saat yang memaparkan detik-detik sebelum Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan AS 555 SN bergesel lalu terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, dalam nahas pada 23 April.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob (depan), menunjukkan satu video sepanjang tujuh saat yang memaparkan detik-detik sebelum Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan AS 555 SN bergesel lalu terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, dalam nahas pada 23 April. - Foto TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA

Kejadian malang dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bergesel sebelum terhempas ketika latihan pada 23 April di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, berpunca daripada salah sebuah helikopter itu, AS 555 SN Fennec, yang tidak berada pada ketinggian dan haluan yang ditetapkan.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, berkata laporan akhir Lembaga Siasatan nahas dua helikopter itu merumuskan helikopter Fennec dikenal pasti sebagai punca utama kejadian itu berlaku.

Beliau berkata pesawat helikopter yang dinaiki tiga kru itu telah memasuki laluan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 yang membawa tujuh kru.

Tan Sri Abdul Rahman berkata video rakaman kejadian sepanjang tujuh saat memperlihatkan tujuh helikopter membuat formasi penerbangan dalam latihan lintas hormat sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 dan turut memperlihatkan titik impak nahas kedua-dua pesawat itu.

“Setelah diteliti, Lembaga Siasatan telah membuat kesimpulan bahawa faktor utama penyebab kemalangan adalah pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang telah ditetapkan serta memasuki laluan pesawat AW139.

“Siasatan juga mendapati faktor kedua penting, channelized attention (peralihan perhatian) oleh kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran,” katanya ketika membentangkan laporan akhir Lembaga Siasatan berkait nahas dua helikopter berkenaan pada 30 Mei.

Tan Sri Abdul Rahman berkata Lembaga Siasatan melaksanakan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang telah menyumbang kepada kejadian tersebut dengan meneliti perkara yang merangkumi beberapa aspek penting.

Menurutnya, Lembaga Siasatan menggunakan simulasi penerbangan pesawat sebenar bagi membantu siasatan terhadap status helikopter Fennec yang tidak mempunyai kotak hitam.

Beliau berkata Lembaga Siasatan mendapatkan kerjasama, kepakaran dan pandangan daripada pengeluar (OEM), iaitu Leonardo Helikopter dan Airbus Helikopter.

“Setelah siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, Lembaga Siasatan mendapati laporan autopsi mengesahkan bahawa tiada isu hipoglisemia (gula/glukosa dalam badan rendah) atau unsur-unsur kepenatan terhadap semua kru udara serta tiada penggunaan bahan terlarang.

“Tiada unsur kesihatan mental direkodkan atau dikenal pasti. Kesemua kru udara terlibat disahkan secara perubatan sebagai fit to fly (sihat untuk melakukan penerbangan),” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati pesawat AW139 disahkan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan Laporan Analisis Kotak Hitam.

“Pesawat Fennec ditentukan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan analisis visual dan bunyi serta dokumentasi. Kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak OEM.

“Sampel minyak, pelincir dan bahan api telah diperiksa dan disahkan normal oleh pihak Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride). Keadaan cuaca pada hari kejadian juga adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan kededua pesawat helikopter itu tidak boleh dibaik pulih untuk digunakan dalam operasi TLDM.

Dalam kejadian pada 23 April itu, 10 pegawai dan anggota TLDM terkorban selepas dua helikopter TLDM bertembung sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg