Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HFMD melonjak 266% di M’sia, Selangor catat kes tertinggi

May 13, 2025 | 10:01 AM
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan lima negeri mencatatkan jumlah kes tertinggi adalah Selangor dengan 27,118 kes (27.2 peratus); diikuti Johor dengan 9,864 kes (9.9 peratus); Perak dengan 9,347 kes (9.4 peratus); Kelantan dengan 7,147 kes (7.2 peratus); dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6,850 kes (6.9 peratus).
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan lima negeri mencatatkan jumlah kes tertinggi adalah Selangor dengan 27,118 kes (27.2 peratus); diikuti Johor dengan 9,864 kes (9.9 peratus); Perak dengan 9,347 kes (9.4 peratus); Kelantan dengan 7,147 kes (7.2 peratus); dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6,850 kes (6.9 peratus). - Foto fail

KUALA LUMPUR: Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh Malaysia menyaksikan peningkatan 266 peratus, dengan 99,601 kes dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 2025 (ME 17/2025) berbanding 27,236 kes bagi tempoh sama pada 2024.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, daripada jumlah itu sebanyak 10,421 kes (10 peratus) adalah berkaitan wabak, manakala 89,180 kes (90 peratus) berlaku secara sporadik.

KKM menyatakan lima negeri mencatatkan jumlah kes tertinggi adalah Selangor dengan 27,118 kes (27.2 peratus); diikuti Johor dengan 9,864 kes (9.9 peratus); Perak dengan 9,347 kes (9.4 peratus); Kelantan dengan 7,147 kes (7.2 peratus); dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6,850 kes (6.9 peratus).

“Daripada keseluruhan wabak ini, sebanyak 578 berlaku di taska (22 peratus), 480 di tadika (18 peratus), 292 di tabika (11 peratus), dan 251 di pra-sekolah (9 peratus),” kata KKM melalui satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

KKM memaklumkan bahawa 38,285 premis diperiksa di seluruh negara membabitkan taska, tadika, tabika, pra-sekolah dan rumah kediaman.

Daripada jumlah itu, sejumlah 1,140 (3 peratus) premis diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], manakala 430 (1 peratus) premis lagi ditutup secara sukarela.

“Selain itu, sebanyak 220 sesi taklimat dilaksanakan di seluruh negara oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk memberi pendidikan kesihatan bagi membendung penularan HFMD.

“KKM akan sentiasa memberikan maklumat berinformasi sebagai antara mekanisme perkongsian supaya rakyat terus bersama dalam mencegah dan membendung sebarang situasi wabak bukan sahaja HFMD.

“Pada masa sama, perkongsian maklumat ini perlu disebarluaskan sebagai memenuhi ‘Ihsan’ sesama masyarakat tidak mengira apa jua latar belakang pendidikan mahu pun sosioekonomi,” kata KKM lagi.

KKM turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar mengamalkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas serta memastikan permainan, bilik air dan barangan yang kerap disentuh dibersihkan secara berkala menggunakan sabun, air atau cecair disinfeksi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg