Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes HFMD tertinggi di Selangor; Johor dan Perak catat peningkatan

Apr 16, 2025 | 3:57 PM
Kanak-kanak golongan paling berisiko tinggi dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dengan kebanyakannya akan mengalami bintik-bintik merah pada bahagian tubuh dan ulser dalam mulut.
Kanak-kanak golongan paling berisiko tinggi dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dengan kebanyakannya akan mengalami bintik-bintik merah pada bahagian tubuh dan ulser dalam mulut. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Selangor mencatat jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) paling tinggi dengan 16,794 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 5 April, sementara Johor dan Perak turut mencatat peningkatan kes penyakit berjangkit itu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, hampir semua negeri di Malaysia menunjukkan peningkatan kes antara 300 dengan 800 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.

“Selain Selangor, Johor adalah negeri yang merekodkan kes kedua tertinggi HFMD iaitu 6,384 kes, manakala Perak dengan 5,510 kes,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan beberapa negeri mencatat peningkatan kes HFMD, antaranya di Pulau Pinang, bagi tempoh 1 Januari hingga 22 Mac, dengan sebanyak 3,446 kes direkodkan.

Selain itu, 533 kes direkodkan di Terengganu, sementara Kelantan bagi tempoh 1 Januari hingga 5 April menyaksikan 4,591 kes.

Kebanyakan kes membabitkan kanak-kanak di bawah usia enam tahun yang berada di pusat asuhan dan tadika.

KKM turut memaklumkan hanya dua negeri yang setakat ini menunjukkan penurunan kes HFMD, iaitu Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Mengenai penularan kes HFMD hampir di seluruh Malaysia ketika ini, KKM memberitahu ia bukan berpunca daripada sambutan Aidilfitri, sebaliknya trend peningkatan wabak itu dikesan sejak Disember 2024.

Susulan daripada itu, KKM melakukan pelbagai pencegahan segara secara menyeluruh, termasuk penutupan premis seperti tadika dan taska sekiranya perlu.

“Antara langkah kawalan dilakukan ketika ini adalah melakukan siasatan dan kawalan wabak yang dijalankan secara berterusan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

“Selain itu pihak KKM juga mengadakan sesi town hall (dialog awam) bersama agensi berkaitan termasuk pengusaha taska serta tadika.

“Pemantauan turut diberikan bagi kes teruk dan pada masa sama turut dilakukan pengambilan sampel enterovirus (virus dalam gastrousus),” kata KKM.

Menurut KKM, tindakan pencegahan turut dipertingkat bagi memastikan kawalan berterusan terhadap wabak HFMD.

Ini katanya termasuk menggalakkan pengusaha premis pusat jagaan harian dan tadika untuk melakukan penyahjangkitan – pembasmian kuman – setiap hari dan memastikan kanak-kanak bawah jagaan mereka sentiasa menjaga kebersihan diri.

Selain itu, KKM turut memperkukuh promosi kesedaran awam mengenai wabak HFMD melalui infografik di media sosial dan portal KKM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg