Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hospital Pasir Gudang mula beroperasi 1 Ogos

Jun 30, 2025 | 12:58 PM
Hospital Pasir Gudang, Johor Bahru
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (barisan depan, lima dari kanan), melihat model bangunan Hospital Pasir Gudang. - Foto FACEBOOK DR DZULKEFLY AHMAD

PASIR GUDANG (Johor): Hospital Pasir Gudang (HPG) yang dibangunkan dengan kos keseluruhan RM500 juta ($150 juta) mula beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos 2025.

HPG adalah hospital awam ketiga di Johor Bahru, selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata HPG dijangka dapat mengurangkan kesesakan di HSA dan HSI apabila ia beroperasi sepenuhnya pada Julai 2026.

“HPG akan mula beroperasi segera dalam fasa satu mulai 1 Ogos ini, membabitkan 30 peratus perkhidmatan teras dahulu terutama Jabatan Perubatan Am dan Nefrologi, Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETS), Jabatan Pediatrik, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (Ok&G) dan pembedahan, dalam fasa pertama.

“Kementerian Kesihatan (KKM) berharap HPG akan beroperasi secara penuh mulai Julai 2026, membabitkan lebih 1,800 kakitangan, dan ini akan mengurangkan bebanan dan tekanan kepada HSA dan HSI.

“Pakar kita pun sudah mula mengambil penempatan di sini khususnya jabatan utama, sebagai persiapan mula beroperasi 1 Ogos nanti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang pada 29 Jun.

HPG dengan keluasan 20.6 hektar dan terletak di Bandar Seri Alam itu dilengkapi dengan 304 katil dan 14 perkhidmatan pakar.

Antara kemudahan HPG termasuk blok kuarters kakitangan dan blok asrama jururawat, serta 1,507 lot kereta, 320 lot tempat letak motosikal dan 32 lot tempat letak kenderaan orang kurang upaya (OKU).

Mengulas mengenai cadangan pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 bagi mengurangkan kesesakan kritikal HSA, Dr Dzulkefly memaklumkan kerja awalan sudah dimulakan.

“KKM ingin maklumkan bahawa kerja awalan HSA 2 sedang giat dilaksanakan ketika ini.

“Maklumat lanjut akan dikongsikan apabila ia mencapai peringkat seterusnya,” katanya, lapor Harian Metro.

Pada Mei, projek pembinaan HSA 2 dilaporkan dalam fasa akhir penyediaan kertas kerja, sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi perbincangan lanjut dan kelulusan pelaksanaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, dilaporkan berkata kemajuan itu dicapai selepas semua isu berkaitan pemilikan tanah dan kerja awalan diselesaikan sepenuhnya dengan kertas kerja dijangka diselesaikan pada Mei.

Tapak pembinaan hospital berkenaan dikenal pasti membabitkan sebahagian tanah milik Kementerian Pertahanan di Skudai dan telah diberikan kebenaran untuk dimajukan pembinaan HSA 2.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah meluluskan peruntukan bagi kerja awalan melalui pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg