JOHOR BAHRU: Sebanyak 222 projek pembangunan di Johor bernilai RM10.8 bilion ($3.29 bilion) yang diluluskan sejak 2016, masih belum dilaksanakan, meskipun peruntukan telah pun disalurkan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata jumlah projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) itu melibatkan nilai keseluruhan RM10.8 bilion dan masih berada pada peringkat pra-pelaksanaan.
“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana walaupun peruntukan telah diluluskan, kerja-kerja pelaksanaan masih belum dijalankan.
“Bayangkan berapa banyak projek pembangunan dan naik taraf yang sepatutnya dinikmati rakyat termasuk melibatkan hospital, sekolah dan jalan raya, namun masih belum sampai ke peringkat pelaksanaan,” katanya ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, Johor, pada 26 Mei.
Datuk Onn Hafiz berkata isu tersebut telah beberapa kali dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Negeri, termasuk ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Johor baru-baru ini, lapor The Star.
“Setiap kali kita adakan mesyuarat Majlis Tindakan Negeri, saya akan bangkitkan isu ini dan mengarahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk menjejaki status terkini bersama kementerian berkaitan.
“Dengan persetujuan Perdana Menteri, kerajaan Johor telah memutuskan bahawa semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan langsung dengan kementerian terlibat bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek ini untuk manfaat rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana meluluskan sembilan daripada 10 projek utama yang dimohon kerajaan negeri di bawah Pelan Pusingan (Rolling Plan) Ke-5 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Antaranya termasuklah projek Hospital Sultanah Aminah 2 serta beberapa projek lebuh raya yang sangat penting untuk pembangunan Johor,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg