SELANGOR: Sebuah hospital swasta di Selangor dikecam orang ramai atas tindakan kejam kerana didakwa menahan dan membekukan jenazah seorang bayi selama dua minggu, hanya kerana keluarganya tidak mampu membayar kos rawatan hospital dianggarkan RM3,600 ($1,091).
Tidak cukup dengan itu, si ibu – yang kematian bayi selepas 30 minit dilahirkan – menanggung kesedihan berganda selepas beliau dikatakan tidak dibenarkan keluar wad sehingga bil dibayar, tidak mendapat rawatan sebaiknya, malah terpaksa menerima hinaan pihak hospital berikutan keadaan bayi yang dilahirkan cacat.
Kejadian malang menimpa bayi yang diberi nama, Muhammad Adham Mikail, itu tular di media sosial selepas dikongsikan di Facebook oleh pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official.
Ia turut menarik perhatian kerajaan Selangor yang mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan pihak hospital menahan jasad bayi meninggal dunia selama dua minggu dan membekukannya.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Cik Anfaal Saari, sedang menyiasat kes terbabit dan berjanji akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Berdasarkan perkongsian Mr Wan Chai, bayi itu dilahirkan tidak sempurna pada 24 November dengan memiliki satu mata, tiada hidung dan tiada lubang dubur.
Video jenazah Muhammad Adham diuruskan dalam keadaan keras dan beku sebelum terpaksa dimandikan dengan air panas yang dicampur air paip mengundang hiba terhadap nasib bayi itu.
“Kami menghadapi masalah sewaktu hendak menguruskan jenazah adik Muhammad Adham Mikail. Hancur luluh melihat jenazah anak tanpa dosa ini beku 100 peratus!,” tulis Mr Wan Chai di Facebook.
Menjawab persoalan mengapa keluarga berkenaan ke hospital swasta tanpa kemampuan kewangan, Mr Wan Chai berkongsi penjelasan dipercayai daripada bapa bayi berkenaan yang mendakwa isterinya dihantar ke hospital itu oleh jirannya yang panik selepas wanita itu menunjukkan tanda untuk bersalin.
Ketika itu bapa Muhammad Adham sedang bekerja dan sebaik dimaklumkan beliau bergegas ke hospital, namun hasrat untuk memindahkan isterinya ke hospital kerajaan tidak kesampaian kerana bayi itu sudah hampir waktu dilahirkan.
Sementara itu, Berita Harian Malaysia, melaporkan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, berkata tindakan hospital berkenaan menahan dan membekukan jenazah bayi selama dua minggu adalah satu penganiayaan yang menyalahi hukum syarak.
Menurutnya, ia tidak wajar kerana menyebabkan kelewatan pengebumian jenazah seorang Muslim yang sepatutnya disegerakan jika tiada sebarang keuzuran.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg