Mulai Januari 2025, cuti hujung minggu di Johor ditetapkan pada Sabtu dan Ahad.
Perubahan cuti hujung minggu daripada Jumaat dan Sabtu itu diumumkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, pada 7 Oktober.
“Selepas mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad.
“Saya juga menitahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Mufti Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek.
“Saya berharap agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya,” kata beliau dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.
Pada 1 Januari 2014, Sultan Johor, Sultan Ibrahim, menukar cuti mingguan negeri itu kepada Jumaat dan Sabtu. Ia sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi Johor.
Cuti hujung minggu asal di Johor sebelum ini memang ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu, namun kerajaan negeri menukar cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Besar Johor pada 1994.
Sementara itu, Datuk Onn berkata di Facebook rasminya bahawa penyelarasan semula cuti hujung minggu di negeri itu kepada Sabtu dan Ahad akan membabitkan semua rakyat negeri itu, termasuk 587,343 pelajar dan 1.948 juta pekerja.
“Perbincangan penyelarasan perubahan cuti hujung minggu ini akan menitikberatkan dan meliputi seluruh aspek, termasuklah agama Islam, tanpa mengetepikan penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari.
“Kerajaan Negeri bersama Mufti Negeri Johor dan agensi yang terlibat akan memperincikan waktu kerja yang sesuai, terutama pada Jumaat bagi memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat pada waktunya.
“Insya-Allah, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat, penyelarasan ini juga akan mengurangkan masalah penjadualan dalam kalangan sektor awam dan sektor swasta, memberi ruang kepada keluarga untuk meluangkan masa bersama dan membantu memudahkan aktiviti rentas sempadan serta aktiviti perniagaan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg