JOHOR BAHRU: Seorang ibu muda, Nuran Batrisya Jamaludin, 22, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian bayi perempuannya yang baru dilahirkan, Mei lalu.

Tertuduh, yang kelihatan tenang, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee. Wanita itu didakwa melakukan perbuatan yang membawa maut tersebut terhadap bayi perempuannya dengan niat mendatangkan kecederaan.

Insiden itu berlaku di sebuah blok pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Sutera Utama, Johor Bahru, antara jam 11 pagi hingga 2.30 petang, 20 Mei lalu.

Nuran Batrisya didakwa di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Cik R Nevina, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Cik Nevina tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin, serta memohon mahkamah memberikan tempoh bagi penyediaan fakta kes dan hukuman.

Bagaimanapun, Nuran merayu agar jaminan dibenarkan atas alasan ingin menjaga bayi yang baru lahir, yang merupakan kembar kepada mangsa.

“Saya mohon mahkamah benarkan jaminan kerana saya perlu menjaga anak saya yang seorang lagi,” rayunya, seperti dilaporkan Kosmo!.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 ($6,416) dengan dua orang penjamin warga tempatan, selain pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan sekali sebulan.

Hakim Mohd Zamir turut melarang tertuduh mengganggu saksi-saksi pendakwaan serta menetapkan 3 Julai depan sebagai tarikh menetapkan hukuman dan fakta kes.

Terdahulu, pada 22 Mei lalu Kosmo! melaporkan polis menjalankan siasatan kejadian tular melibatkan seorang bayi perempuan meninggal dunia dipercayai akibat dicampak dari tingkat 10 di PPR di Taman Sutera Utama.

Menyusuli itu, ibu kandung kepada bayi berkenaan ditahan pada 12 tengah hari 2 Jun, di perkarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Pemangku Ketua Polis Johor, Timbalan Pesuruhjaya Hoo Chuan Huat berkata, siasatan rapi mengaitkan wanita itu dengan tindakan kejam membuang bayi yang masih bernyawa.