Kes dera anak majikan: Pembantu rumah dijatuhi hukuman penjara 22 minggu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes dera anak majikan: Pembantu rumah dijatuhi hukuman penjara 22 minggu

Jan 28, 2026 | 3:17 PM

Kes dera anak majikan: Pembantu rumah dijatuhi hukuman penjara 22 minggu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Nofitasari, 33 tahun, warga Indonesia, dijatuhi hukuman penjara 22 minggu pada 26 Januari selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak majikannya yang berumur 15 bulan.
Nofitasari, 33 tahun, warga Indonesia, dijatuhi hukuman penjara 22 minggu pada 26 Januari selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak majikannya yang berumur 15 bulan. - Foto TANGKAP LAYAR/SHIN MIN DAILY NEWS

Seorang pembantu rumah di Singapura yang tergamak mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 bulan di bawah jagaannya berulang kali hanya kerana mangsa sukar ditidurkan, telah dijatuhi hukuman penjara.

Nofitasari, 33 tahun, warga Indonesia, dijatuhi hukuman penjara selama 22 minggu pada 26 Januari selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), wanita itu dilihat mencubit dan menarik rambut kanak-kanak malang tersebut. Dia juga dirakam menendang dan mencampak mangsa.

Menurut butiran kes, datuk sebelah ibu mangsa telah mendapatkan khidmat Nofitasari pada Jun 2024.

Tugas utamanya adalah memberi makan dan menidurkan mangsa setiap malam. Mereka berkongsi bilik tidur di unit yang sama yang turut didiami oleh ibu saudara mangsa, teman lelakinya, serta datuk dan nenek mangsa.

Keluarga tersebut telah memasang kamera keselamatan di bilik tidur mangsa untuk memantau tidurnya. Walau bagaimanapun, mereka mendapati pembantu rumah tersebut pernah menghalang pandangan kamera dengan alat permainan (patung), namun mereka tidak menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut pada awalnya.

Penderaan berulang terakam selama dua minggu

Keluarga mangsa kemudian memasang semula kamera tersebut dan berjaya merakam perbuatan keji Nofitasari yang mendera mangsa beberapa kali antara 20 Mac hingga 1 April 2025.

Pada malam 20 Mac 2025, apabila melihat mangsa bergerak di atas katil, Nofitasari memukul punggung mangsa, menarik tangannya, dan mencampaknya dengan kuat ke atas katil. Dia kemudian mencubit muka dan memukul mulut mangsa sehingga kanak-kanak itu menangis.

Kira-kira seminggu kemudian pada 26 Mac, Nofitasari menarik rambut mangsa, memegang lengan untuk mengangkatnya, dan mencubit mukanya. Dua hari selepas itu, apabila mangsa tidak sengaja menyentuh kakinya, dia menendang kepala dan leher mangsa sehingga kanak-kanak itu tercampak di atas katil.

Ibu saudara mangsa akhirnya membuat laporan polis pada 1 April. Mahkamah mendedahkan bahawa mangsa tidak dapat meminta bantuan kerana usianya yang terlalu muda. Kesan calar ditemui pada muka, lengan, dan kaki mangsa akibat kejadian tersebut.

Semasa siasatan, Nofitasari mengaku dia sering “hilang kawalan” dan memukul mangsa apabila kanak-kanak itu meragam atau enggan tidur.

Syak insiden penderaan lain

Keluarga mangsa mengesyaki terdapat insiden penderaan lain sebelum ini. Pada Oktober 2024, mangsa mengalami kecederaan melecur akibat semangkuk bubur panas. Nofitasari mendakwa mangsa meluru ke hadapan dan memasukkan jarinya ke dalam bubur tersebut.

Pada Mac 2025, apabila mangsa terjatuh di ruang tamu dan menangis selepas kepalanya terhantuk, Nofitasari tidak mempedulikannya dan menafikan kejadian jatuh itu berlaku. Dalam bulan yang sama, dia mendakwa sedang memasak di dapur semasa mangsa jatuh, namun rakaman CCTV menunjukkan dia tidak berada di dapur pada waktu itu.

Rayuan kerana mempunyai anak sendiri

Dalam rayuannya, Nofitasari menyatakan dia hilang kawalan akibat keletihan dan ingin memohon maaf kepada mangsa. Dia memohon hukuman diringankan atas alasan mempunyai anak sendiri dan telah kehilangan pendapatan kerana tidak dapat bekerja sepanjang tempoh siasatan.

Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara minimum lapan bulan, dengan hujah bahawa Nofitasari telah mengabaikan tanggungjawabnya dan jenayah tersebut mungkin tidak akan terbongkar jika bukan kerana rakaman CCTV, memandangkan mangsa terlalu kecil untuk mengadu.

Nenek mangsa meluahkan rasa luluh hati kerana Nofitasari telah menjaga cucunya sejak berusia empat bulan lagi.

“Dia mempunyai anak lelaki yang sebaya dengan cucu saya. Saya sangka dia faham cara menyayangi kanak-kanak. Saya tidak pernah bayangkan dia begitu kejam,” katanya kepada akhbar Cina, Shin Min Daily News.

Tambahnya lagi, semasa ditangkap, Nofitasari memberitahu polis bahawa dia “hanya bergurau”. Sehingga kini, dia dilaporkan masih belum memohon maaf kepada keluarga mangsa. Keluarga tersebut kini telah mendapatkan khidmat pembantu rumah baru namun tetap memantau rapi cucu mereka bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg