Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu tunggal di Kedah ditikam rakan lelaki yang disyaki cemburu
Ibu tunggal di Kedah ditikam rakan lelaki yang disyaki cemburu
Ibu tunggal di Kedah ditikam rakan lelaki yang disyaki cemburu
ALOR SETAR (Kedah): Cemburu kerana cinta tidak dibalas disyaki motif seorang lelaki menikam leher rakan wanitanya, yang juga seorang ibu tunggal, dalam kejadian di dalam sebuah kereta di hadapan restoran di Titi Gajah di Kepala Batas, Alor Setar, Kedah.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata mangsa tersebut, seorang wanita tempatan berusia 35 tahun yang mempunyai dua anak, ditikam dengan satu tikaman menggunakan senjata tajam pada sekitar 9.19 malam, 17 Mei.
Beliau berkata menyusuli kejadian itu, kira-kira 1.50 pagi, polis mengesan suspek lelaki berstatus duda itu bersembunyi di sebuah masjid di Taman Uda iaitu kira-kira 6.2 kilometer dari lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati suspek mempunyai satu rekod di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, iaitu mencederakan bekas teman wanitanya pada 2017.
“Suspek direman tujuh hari dan ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia bebas pengaruh dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada 18 Mei, lapor Harian Metro.
Datuk Adzli berkata motif sebenar kejadian itu masih dalam siasatan tetapi pihaknya percaya ia berkemungkinan akibat cemburu atau cinta tidak berbalas.
Katanya, suspek dan mangsa bekerja sebagai ejen hartanah tetapi berlainan syarikat, dan mengenali antara satu sama lain sejak 2025.
Datuk Adzli berkata kejadian itu berlaku di dalam kereta Mazda 3 dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan, beberapa minit selepas kereta itu tiba di tempat kejadian, mangsa telah bertindak membunyikan hon kereta untuk menarik perhatian orang awam sebelum suspek melarikan diri.
“Suspek dipercayai berjalan kaki ke masjid berkenaan melalui kawasan sawah padi dan senjata yang digunakan dalam kejadian itu dipercayai pisau ‘rambo’ atau pemutar skru,” katanya.
Sementara itu, kakak wanita yang cedera itu berkata adiknya itu telah selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pada 18 Mei.
Beliau yang enggan namanya disiarkan menambah, adiknya itu selamat menjalani pembedahan yang mengambil masa kira-kira 10 jam dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Adik sekarang ini masih ditidurkan supaya dia dapat berehat,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa, pada 18 Mei.
Bagaimanapun, kakak mangsa meminta diberi ruang dan setakat ini keluarganya belum bersedia membuat sebarang kenyataan lanjut.
