Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki serang paderi pernah dijel tikam bekas temanita

Nov 10, 2024 | 5:47 PM
Suspek akan didakwa di mahkamah pada 11 November atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya secara sukarela.
Suspek akan didakwa di mahkamah pada 11 November atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya secara sukarela. - Foto ST

Lelaki warga Singapura yang ditahan polis kerana menikam seorang paderi di sebuah gereja di Bukit Timah pada 9 November, telah dikenal pasti sebagai Basnayake Keith Spencer.

Basnayake, 37 tahun, dan berbangsa Sinhalese atau Sri Lanka, sebelum ini dilihat di Gereja St Joseph’s di Upper Bukit Timah, tetapi bukan pengunjung tetap.

Satu video yang tersebar dalam talian berikutan serangan ke atas Paderi Christopher Lee, 57 tahun, menunjukkan seorang lelaki kurus, botak dan berkemeja-T putih berlumuran darah, dibawa keluar daripada gereja dengan tangan di belakangnya.

Akhbar The Straits Times mendapati lelaki dalam video itu ialah Basnayake.

Dia pernah disabitkan kesalahan dan dipenjara pada 2019 kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya – menikam bekas temanitanya di sebuah keramaian ketika dia mengambil dadah.

Menjelang perhimpunan pada pagi 10 November, sekurang-kurangnya tiga petugas kecemasan gereja dilihat meronda premis gereja. Mereka menjalankan pemeriksaan ke atas beg-beg yang dibawa pengunjung.

Dalam sesi perhimpunan tu, pengunjung dimaklumkan tentang keadaan Paderi Lee. Pihak gereja berkata pembedahan yang dijalani paderi itu berjalan lancar dan beliau diarahkan berehat.

Gereja itu juga menyiarkan kemas kini di Facebook bahawa Paderi Lee berada dalam keadaan stabil, dan masih berada di hospital supaya doktor dapat memantaunya.

Dalam sidang akhbar pada awal 10 November, polis berkata lima senjata telah ditemui dalam simpanan penyerang, termasuk pisau lipat yang digunakan dalam serangan itu.

Serangan itu berlaku semasa perhimpunan bulanan kanak-kanak di gereja tersebut.

Basnayake akan didakwa di mahkamah pada 11 November atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya secara sukarela, tambah polis.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup, atau penjara sehingga 15 tahun. Pesalah juga boleh dikenakan sebatan dan/atau denda.

Polis juga akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan lelaki itu di Institut Kesihatan Mental untuk penilaian psikiatri.

Pada masa ini tiada bukti yang menunjukkan bahawa ini adalah serangan bermotifkan agama, tambah polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg