TERENGGANU: Seorang wanita maut manakala dua anaknya cedera dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 94.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Paka, pada 26 Jun.
Dalam satu kenyataan pada 27 Jun, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, berkata kemalangan tersebut berlaku sekitar 11.30 pagi.
Beliau menambah kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa, Allahyarhamha Nabilah Harun, 55 tahun, bertembung dengan kereta Perodua Axia yang terbabas sebelum dirempuh pula oleh lori dari belakang.
“Siasatan awal mendapati kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa dan lori jenis Isuzu dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan manakala pemandu kereta Perodua Axia memandu dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.
“Kemalangan berlaku apabila secara tiba-tiba, pemandu kereta Perodua Axia dari arah bertentangan terbabas memasuki laluan dan kemudian melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan yang dipandu mangsa.
“Akibat pertembungan tersebut, kereta dinaiki mangsa telah berpusing memasuki lorong kiri dan dilanggar pada bahagian hadapan sebelah kanan oleh pemandu lori yang datang dari arah belakang.”
Disebabkan kemalangan itu, mangsa meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Dungun susulan kecederaan parah yang dialami pada beberapa bahagian badannya, tambah Superintenden Maizura.
Dua anak mangsa iaitu Wan Muhammad Usamah Wan Rozali, 17 tahun, dan Wan Soffiyah, 19 tahun, masing-masing cedera ringan pada bahagian hidung dan mulut, ujarnya.
Beliau berkata: “Pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan manakala pemandu kereta Perodua Axia itu, lelaki berusia 43 tahun, hanya mengalami cedera ringan.
“Dua anak mangsa dan pemandu kereta Perodua Axia itu dihantar ke Klinik Kesihatan Paka untuk menerima rawatan susulan.”
Superintenden Maizura berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg