Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Individu ugut peguam yang cabar enakmen syariah Kelantan dikenal pasti: Polis M’sia

Feb 14, 2024 | 12:33 PM
Peguam, Cik Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid (kanan), dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, menerima ugutan susulan petisyen mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Peguam, Cik Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid (kanan), dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, menerima ugutan susulan petisyen mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. - Foto BHM

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti identiti pemilik tiga akaun media sosial yang dipercayai mengugut peguam, Cik Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata tiga kertas siasatan dibuka berhubung ugutan itu, termasuk satu yang sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan susulan.

“Tahun lalu (2023), Nik Elin buat tiga laporan, kita buka tiga kertas siasatan dengan satu daripadanya sudah selesai dan ada pada TPR.

“Dua lagi laporan masih dalam siasatan dan kita akan lengkapkannya dalam masa terdekat untuk serahkan kepada TPR,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau, yang ditemui selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 14 Februari, berkata ada arahan tertentu dikeluarkan TPR untuk tindakan polis, namun belum membabitkan arahan untuk pendakwaan dan belum ada tangkapan dibuat polis.

Pada 10 Februari, Cik Nik Elin Zurina memaklumkan menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya memfailkan petisyen mencabar 18 perkara dalam enakmen berkenaan.

Pada 9 Februari, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah, yang dicabar Cik Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, diisytihar sah.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, membuat keputusan itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya.

Keputusan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1.

“Kuasa perundangan Persekutuan dan negeri ditentukan Perlembagaan menerusi Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang telah menggariskan undang-undang yang boleh dibuat oleh Parlimen serta badan perundangan negeri.

“Peruntukan dibuat oleh badan perundangan negeri Kelantan adalah perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan, maka ia tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkenaan,” kata Ketua Hakim Negara.

Tengku Maimun berhujah, isu perlu diputuskan Mahkamah Persekutuan, sama ada badan perundangan negeri membuat peruntukan berkenaan mengikut batasan ditentukan Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya, tiada kena-mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah di negara ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg