Kejadian membabitkan pendakwah terkenal Indonesia, Miftah Maulana Habiburrahman, atau lebih dikenali sebagai Gus Miftah, mempersenda seorang penjual teh ais bukan saja mendapat perhatian di negara kelahirannya, malah juga di Malaysia.
Pendakwah itu berdepan reaksi orang ramai baik di Indonesia mahupun Malaysia, kerana didakwa mengejek penjual teh ais, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai etika tokoh agama dan pendekatan golongan berilmu terhadap isu kemasyarakatan.
Di Malaysia, tidak hanya masyarakat melontarkan pelbagai komen kritikal terhadap pendekatan pendakwah yang juga Utusan Khusus Presiden Indonesia itu, malah tidak terkecuali tokoh agama dan pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Anwar mengingatkan masyarakat supaya kejadian itu dijadikan pengajaran besar, terutama buat golongan berilmu serta mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat supaya bersikap lebih mulia dan tidak mudah menghina golongan bawahan.
Tambahnya insiden itu wajar menginsafkan semua lapisan masyarakat supaya tidak memandang hina sesiapa jua.
“Di Indonesia, beberapa hari ini riuh-rendah di media sosial seorang kiai dalam dakwahnya, menghina seorang penjual teh. Saya lihat ramai yang menonton.
“Orang penjual teh, yang mana paling miskin, tapi dia pendakwah dan rakan-rakannya, dengan ketawanya. Sehingga Presiden (Indonesia) Prabowo (Subianto) beri kenyataan agak keras. Akhirnya pendakwah dan kiai itu berkunjung ke daerah penjaja berkenaan dan mohon maaf.
“Ini satu contoh bahawa keangkuhan, sombong itu bukan saja dalam kalangan orang yang tak tahu agama, bahkan juga orang yang faham agama, yang bicara tentang Islam akidah dan solat, tapi kadang-kadang boleh menghina,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar, turut tidak ketinggalan melontar pandangan dan memperingatkan golongan pendakwah agar menyampaikan dakwah dengan adab, hikmah dan akhlak mulia.
Menurutnya ia bukan saja melambangkan akhlak seseorang, malah jauh lebih penting lagi bagi memastikan mesej Islam diterima dengan baik oleh masyarakat.
“Tugas dakwah bukanlah mengajak orang untuk bergaduh dan bermusuhan. Dakwah juga tidak boleh dengan cara sindiran, cacian, makian apatah lagi merendah-rendahkan orang lain.
“Dakwah itu perlu dengan ilmu, hikmah disulami dengan senyuman serta akhlak budi yang memikat hati,” katanya.
Mantan Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, antara yang terawal berkongsi pengajaran mengenai kejadian itu dengan berkongsi hadis yang menjelaskan kemuliaan golongan miskin di sisi Allah, yang mudah dimakbulkan doanya dan diangkat darjatnya menerusi takwa.
“Sekiranya dia bersumpah atas nama Allah untuk sesuatu perkara, Allah akan memenuhi sumpahnya. Sekiranya dia berdoa, pasti Allah makbulkan. Hal ini kerana keikhlasannya, kedudukannya di sisi Allah, dan amalannya yang selari dengan keredaan Allah.
“Apa jua kedudukan seseorang sama ada penjual ‘es teh’ atau jutawan, tiada yang membezakan keduanya kecuali taqwa kepada Allah,” tulisnya di Facebook.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg