KUALA LUMPUR: Lima petugas Penjara Taiping di Perak kini berdepan prosiding tindakan tata tertib, manakala seorang anggota penjara telah didakwa di mahkamah, menyusuli insiden serangan terhadap lebih 100 tahanan yang mengorbankan seorang penghuni penjara pada 2025.

Dalam insiden pada 17 Januari 2025 itu, media Malaysia melaporkan lebih 100 tahanan di Penjara Taiping diserang kira-kira 60 warden ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E, menyebabkan seorang tahanan, Gan Chin Eng, maut.

Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dalam satu kenyataan mengesahkan tindakan terhadap kakitangan penjara terbabit menyusuli penelitian laporan serta rumusan Panel Inkuiri Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung insiden berkenaan.

Menurut JPM, pihaknya telah memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh.

“Hasil siasatan membawa kepada tuduhan terhadap seorang anggota penjara di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan. Pada masa sama, lima lagi kakitangan penjara sedang berdepan prosiding tindakan tatatertib yang dilaksanakan oleh JPM,” menurut kenyataan pada 15 Jun itu, lapor Astro Awani.

JPM berkata tindakan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan jabatan itu dalam menegakkan prinsip akauntabiliti tanpa melindungi mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang, tanpa mengira pangkat atau jawatan.

“Jabatan mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan,” menurut kenyataan itu lagi.

Pengerusi Suhakam, Datuk Seri Mohd Hishamuddin Yunus, pada 25 Mei dilaporkan berkata panel itu memutuskan kematian Gan sebagai satu pelanggaran hak asasi manusia yang serius.

Beliau berkata panel mengenal pasti beberapa pelanggaran hak asasi manusia yang menyumbang kepada kematian tahanan berusia 61 tahun itu termasuk kekerasan terhadap mangsa, kelewatan rawatan, kecuaian dalam pemberian rawatan serta kekurangan kemudahan rawatan kecemasan.

Sementara itu, Panel Inkuiri Awam Suhakam dalam keputusan akhir berhubung insiden berkenaan turut mencadangkan agar Penjara Taiping dijadikan muzium kerana tidak lagi sesuai digunakan sebagai institusi penjara.

Dalam perkembangan berkaitan, JPM menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited untuk meneruskan agenda pemodenan infrastruktur penjara, termasuk perancangan pembinaan kompleks baharu bagi menggantikan institusi yang telah uzur.

Menurut kenyataan itu, Penjara Taiping yang kini berusia 146 tahun dan berstatus Bangunan Warisan Kebangsaan merupakan antara institusi yang dikenal pasti memerlukan penggantian segera.

“Pembinaan fasiliti baharu yang lebih moden, selamat dan kondusif penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan institusi, memperkukuh aspek keselamatan serta memelihara kebajikan prospek dan pegawai penjara,” katanya.