Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Institut pendidikan Mara tidak berkompromi dengan insiden buli

May 5, 2025 | 10:35 AM
buli, mara, asyraf wajdi dusuki
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto fail

KUALA LUMPUR: “Tiada maaf bagi pembuli, apatah lagi membuli orang kurang upaya (OKU),” tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau mengulas berhubung satu rakaman video tular dipercayai insiden buli yang berlaku di institusi kemahiran bagi belia, GiatMara Durian Tunggal, Melaka.

Datuk Asyraf dalam satu kenyataan berkata semua individu termasuk pelatih yang didakwa menjadi mangsa buli di institusi berkenaan baru-baru ini akan dipanggil pihak pengurusan pada 5 Mei bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

Katanya, beliau juga sudah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Encik Ahmad Hamdi Ibrahim, supaya mengambil tindakan segera berhubung insiden berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu adalah gurauan kasar sesama pelatih ketika mereka menjalani latihan di GiatMara Alor Gajah sebelum ini.

“Kini, mereka semua sedang menjalani Latihan Industri dalam bidang Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam,” katanya di Facebook pada 4 Mei.

Datuk Asyraf menegaskan Mara tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk perbuatan buli sama ada secara fizikal atau mental.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan tiada tempat untuk pembuli di mana-mana Institusi Pendidikan Mara (IPMA) termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), GiatMara, Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Mara, dan Kolej Profesional Mara (KPM).

Selain itu, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Mara Japan Industrial Institute (MJII), German-Malaysian Institute (GMI), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Datuk Asyraf berkata pengurusan Mara di semua peringkat serta IPMA memahami prinsip beliau terhadap isu berkenaan dan tindakan paling tegas akan diambil jika terbukti berlaku salah laku atau jenayah buli.

Baru-baru ini, tular di media sosial klip video selama dua minit memaparkan seorang pemuda mendakwa terdapat pelatih berstatus OKU masalah pembelajaran menjadi mangsa buli di GiatMara Alor Gajah.

Pemuda itu mendakwa terkejut apabila pelajar OKU terbabit yang baru dikenalinya di gelanggang badminton menceritakan kejadian itu kepadanya.

Dalam video berkenaan, mangsa yang sedang baring di atas lantai kelihatan terkejut apabila satu objek berwarna putih dilempar ke arahnya.

Namun dalam satu perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman, berkata kejadian itu ialah kejadian lama yang sudah diselesaikan antara mangsa dengan semua pelajar terbabit.

Beliau berkata kejadian berlaku pada Februari lalu, namun baru ditularkan.

“Pihak Mara sudah mengambil keterangan dan semua pelajar berkenaan juga sudah meminta maaf.

“Mereka meneruskan kursus kemahiran, menjalani latihan loji dan kes terbabit dianggap selesai, manakala pelatih yang didakwa dibuli itu, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita pada 5 Mei. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg