KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) Malaysia akan memulakan pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas pegawai tentera dan polis bagi memperkukuh aspek disiplin serta membanteras kes buli dalam kalangan pelajar institusi pendidikannya.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pelaksanaan inisiatif itu akan dimulakan secara projek rintis membabitkan beberapa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terpilih bagi menilai keberkesanan pendekatan berkenaan.
Cadangan itu dibangkitkan beliau dalam Mesyuarat Mara dan telah dipersetujui sebulat suara.
“Buat permulaan, projek rintis ini akan dilaksanakan di beberapa buah MRSM, dan Mara akan menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan calon warden.
“Bahagian Pendidikan Menengah Mara juga akan menyediakan garis panduan yang jelas berkaitan bidang tugas dan tanggungjawab warden di MRSM,” katanya dalam hantaran media sosial pada 17 April.
Menurut Datuk Asyraf, langkah itu sejajar dengan usaha Mara untuk memastikan pembangunan sahsiah, disiplin dan akhlak pelajar MRSM terus diperkasa secara menyeluruh, selaras dengan falsafah pendidikan yang menekankan keseimbangan aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
“Inisiatif ini penting bagi memastikan MRSM benar-benar bebas daripada sebarang kes buli.
“Matlamat kita ialah MRSM sifar buli dan ini adalah antara langkah serius ke arah mencapai matlamat tersebut,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, beliau pernah mengutarakan cadangan supaya warden berstatus perjawatan kontrak itu perlu melalui temu duga dan beberapa peringkat penilaian.
“Warden ini boleh dilantik melalui proses temu duga dan penilaian menyeluruh terhadap calon-calon dalam kalangan pesara tentera mahupun polis yang punya keupayaan yang baik untuk menerapkan elemen disiplin dan memantau secara lebih menyeluruh pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar di asrama,” katanya.
Pada awal April, dilaporkan tujuh pelajar MRSM yang didapati terbabit kes buli fizikal termasuk bersubahat dalam perbuatan itu ditamatkan pengajian berkuat kuasa serta-merta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg