KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penduduk Kampung Sungai Baru menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan pihak kerajaan Malaysia bagi menyelesaikan isu pengosongan rumah.
Peguam jawatankuasa terbabit, Encik N Surendran, berkata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu kenyataan pada 11 September ada menyatakan akan menghantar wakil kerajaan bagi membantu kemelut yang melanda penduduk Kampung Sungai Baru.
“Pihak jawatankuasa bersedia berbincang dengan wakil kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Datuk Ahmad Zahid.
“Kita sedia, tetapi tidak mungkin ada perbincangan yang baik jika pada masa sama tindakan pengosongan dengan jentolak dan sebagainya di pintu Kampung Sungai Baru dijalankan, tidak mungkin.
“Jadi kita minta kerajaan campur tangan segera dan minta kepada pemaju hentikan proses pengosongan hingga perbincangan penyelesaian dicapai.
“Kita sedia pada bila-bila masa dan kita tidak tolak pembangunan,” katanya dalam sidang media oleh Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, di sini, pada 12 September.
Katanya, perbincangan perlu diadakan kerana ini bukan sahaja membabitkan kebajikan rakyat Kampung Sungai Baru, tetapi kesan kepada negara.
“Seluruh negara melihat mengenai isu di sini (Kampung Sungai Baru). Adakah kerajaan sedia, Itu pertanyaan yang kita ajukan,” katanya.
Encik Surendran berkata Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru juga bertekad untuk menghapuskan Seksyen 3(1)(c) Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Kita akan berjuang supaya kerajaan mansuhkan Seksyen ini yang telah membawa kepada kesakitan dan kesengsaraan rakyat Kampung Sungai Baru.
“Kita tak mahu lagi undang-undang digunakan kepada mana-mana rakyat di Malaysia termasuk Menteri Kabinet di Putrajaya walaupun kita tahu mereka tidak akan kena.
“Sebagai penasihat undang-undang, saya akan failkan permohonan yang diperlukan di mahkamah untuk membatalkan Seksyen 31(1)(c) ini,” katanya.
Pada 11 September, Datuk Ahmad Zahid berkata beliau akan meminta Ahli Parlimen (AP) Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani, yang dilantik mengetuai Pasukan Khas Umno bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), untuk menguruskan masalah berkenaan dengan segera.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg