Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dewan Rakyat lulus rang undang-undang pekerja gig, selain pembangunan M’sia 5 tahun

Komitmen tubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia, main peranan penting kawal selia, selaras dan pantau perkembangan sektor gig
Aug 29, 2025 | 3:26 PM
pekerja gig malaysia, rang undang-undang
Rang Undang-Undang Pekerja Gig jadikan Malaysia antara negara terawal di dunia yang merangka undang-undang untuk menjaga kebajikan pekerja sektor itu. - Foto fail

Selepas 24 hari bersidang, Dewan Rakyat Malaysia meluluskan 19 Rang Undang-Undang (RUU) dengan RUU Pekerja Gig dan Perolehan serta pembentangan RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) antara yang paling mendapat perhatian.

Sidang kedua Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia bagi penggal ini yang ditangguhkan pada 28 Ogos, turut meluluskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), iaitu pelan pembangunan sosioekonomi Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Ini selepas ia dibentangkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 31 Julai lalu. 

Penggubalan RUU Pekerja Gig melegakan kira-kira 1.2 juta pekerja sektor itu di Malaysia, malah ia dilihat sebagai langkah penting kerajaan untuk memperkukuh perlindungan dan hak pekerja dalam ekonomi gig yang semakin berkembang.

Menteri Sumber Manusia, Encik Steven Sim, berkata Malaysia antara negara terawal di dunia yang merangka undang-undang untuk membela kebajikan pekerja gig.

RUU yang mengandungi 112 fasal yang dibentangkan Encik Sim itu antara lain menekankan beberapa aspek penting bagi membela nasib pekerja gig melalui perkara asas seperti kadar upah, hak pekerja gig dan keselamatan sosial.

Menyusuli kelulusan RUU itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi komitmen untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), yang akan memainkan peranan penting bagi mengawal selia, menyelaras serta memantau perkembangan sektor gig di Malaysia.

RUU Perolehan pula menyasarkan penambahbaikan dalam sistem pengurusan tender dan perolehan kerajaan, bagi memastikan ketelusan, kecekapan dan mengurangkan risiko penyelewengan. 

RUU yang dibentangkan Datuk Anwar sebagai Menteri Kewangan dijangka memberi kesan positif terhadap penggunaan dana awam secara lebih berhemah dan cekap.

Walaupun RUU itu mendapat tentangan Ahli Parlimen (AP) kerajaan dan pembangkang ketika dibahaskan atas kebimbangan ia memberi pemusatan kuasa kepada Menteri Kewangan – selain kegagalan bagi RUU itu terlebih dulu dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) – ia diluluskan dengan 125 AP menyokong, 63 menentang, 32 tidak hadir dan seorang berkecuali.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menegaskan RUU itu tidak akan menambah kuasa kepada Menteri Kewangan.

Sebarang keputusan Menteri Kewangan dalam hal perolehan dan tender kerajaan yang memerlukan semak imbang boleh dicabar serta dikaji semula melalui proses Panel Kajian Semula dan Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali.

Sidang Dewan Rakyat kali ini juga menyaksikan RUU PSB 2025 yang mendapat tentangan banyak pihak termasuk AP kerajaan dan pembangkang, hanya dibentangkan tanpa dibahaskan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Nga Kor Ming, ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU itu berkata ia akan ditambah baik dengan menaikkan nilai ambang persetujuan ke paras 80 peratus.

Nilai ambang persetujuan itu membabitkan persetujuan penduduk untuk membangunkan semula sesebuah bangunan penempatan, tanpa mengira usia bangunan.

RUU itu akan diputus dan diluluskan di Dewan Rakyat selepas dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang pada Oktober depan.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata 30 AP BN mahu RUU URA itu ditangguhkan dan dikaji semula bagi membolehkan perbincangan diadakan dengan pihak berkepentingan.

RUU yang bertujuan memulihkan penempatan di kawasan bandar yang usang dan tidak selamat itu juga tidak dipersetujui oleh pembangkang yang mendakwa ia boleh menyebabkan pengusiran orang Melayu dari kawasan penempatan di bandar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg