Kuala Lumpur: Waspada taktik sindiket penipuan menyamar sebagai kakitangan Jabatan Penjara yang menawarkan pakej pembelian makanan istimewa buat banduan.
Jabatan Penjara menerusi satu kenyataan pada 5 Mac memaklumkan pihaknya menerima beberapa aduan daripada keluarga dan waris banduan berkaitan penipuan dilakukan sindiket dengan meminta sejumlah wang bagi pembelian makanan istimewa.
“Sindiket penipuan ini dilaporkan menyamar sebagai pegawai penjara dengan menggunakan nama samaran palsu seperti Sarjan Haziq, Sarjan Akmal, Sarjan Nazri, Sarjan Zul, Sarjan Sani, Sarjan Zam dan pelbagai nama samaran lain.
“Ia bertujuan memperdaya ahli keluarga atau waris menggunakan pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp. Sindiket menggunakan pelbagai nombor telefon meminta sejumlah wang kononnya untuk pembelian makanan istimewa bagi banduan dalam penjara,” kata kenyataan itu, lapor Harian Metro.
Menurut kenyataan itu lagi, sindiket berkenaan juga menggunakan beberapa akaun bank tumpangan bagi transaksi wang daripada ahli keluarga atau waris banduan.
Katanya, laporan polis sudah dibuat oleh mangsa terbabit dan Jabatan Penjara akan bekerjasama dalam membantu siasatan pihak polis.
“Jika didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas, Jabatan Penjara tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, ahli keluarga atau waris prospek yang menerima pesanan ringkas mencurigakan dinasihatkan tidak membuat sebarang transaksi wang kepada individu dan nombor akaun yang tidak dikenali atau mencurigakan.
Orang ramai dinasihatkan membuat laporan di balai polis berhampiran sekiranya menerima pesanan sedemikian serta melaporkan perkara itu kepada pihak institusi penjara bagi tindakan lanjut.
Jabatan Penjara komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan prospek serta keluarga mereka daripada menjadi mangsa penipuan.
Orang ramai diminta berwaspada dan tidak terperdaya dengan taktik licik sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama Jabatan Penjara untuk kepentingan peribadi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg