Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sultan Pahang: Jangan bahas lagi isu titah adendum

Minta semua pihak hormati proses undang-undang
Feb 28, 2025 | 12:43 PM
Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah (dua dari kanan) bersama puteranya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah (tiga dari kanan)
Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah (dua dari kanan) bersama puteranya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah (tiga dari kanan) - Foto FACEBOOK DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, mengingatkan semua pihak supaya tidak berterusan membahaskan isu titah adendum membabitkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, kerana perkara itu sudah berada di bawah proses undang-undang.

Menyusuli itu, Sultan Abdullah mahu semua pihak terbabit menghormati proses yang sedang berlangsung dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berwibawa.

“Dalam soal titah adendum, bahawasanya perkara ini berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.

“Jadi, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang ditetapkan serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik,” katanya dipetik daripada kenyataan dimuat naik Facebook Kesultanan Pahang pada 28 Februari, lapor Berita Harian Malaysia.

Titah adendum yang dimaksudkan ialah satu perintah tambahan yang diperkenankan oleh Sultan Abdullah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16, untuk membenarkan Encik Najib menyelesaikan baki hukuman penjara yang sedang dijalaninya sejak Ogos 2022, sebagai tahanan di rumah.

Pada masa yang sama, Sultan Abdullah turut menggesa semua pihak agar berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

Sultan Abdullah berkata demikian pada acara, ‘Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat’ yang diadakan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di Pahang, pada 27 Februari.

Mantan Agong itu hadir ke majlis berkenaan dengan diiringi puteranya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah.

Polemik mengenai titah adendum itu berlarutan sejak April 2024, apabila Encik Najib mencabar kerajaan di mahkamah untuk membuktikan kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 itu yang dikeluarkan Sultan Abdullah, sehari sebelum tamat pemerintahannya sebagai Agong ke-16.

Titah adendum itu menyusuli keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong ke-16, yang memberi pengurangan hukuman kepada Encik Najib, iaitu dari penjara 12 tahun kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta ($63.4 juta) kepada RM50 juta

Pada Januari 2025, Encik Najib yang juga bekas Presiden Umno menang dalam rayuannya untuk memulakan semakan kehakiman terhadap kewujudan dan pelaksanaan titah adendum itu dan prosesnya masih berjalan sehingga kini.

Isu mengenai titah adendum itu menarik perhatian banyak pihak, termasuk menjadi modal politik buat pembangkang.

Encik Najib sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg