Topik diikuti
Pergi ke BHkuJalan Ara dicadang jadi Little India Pasir Gudang
Pembangunan kawasan beridentiti unik bakal buka peluang ekonomi lebih luas buat peniaga tempatan
Jalan Ara dicadang jadi Little India Pasir Gudang
Kawasan Jalan Ara di Taman Rinting dicadang dibangunkan sebagai Little India Pasir Gudang, dengan kegiatan perniagaan dan kemeriahan bazar Deepavali sedia ada menjadi asas kepada usaha mengetengahkan identiti masyarakat India di kawasan itu.
Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bagi Zon Bandar Masai, Encik Madyasir Ahmad Basir, berkata beliau berhasrat mendapatkan peruntukan daripada majlis bandar raya, kerajaan negeri serta pihak lain untuk merealisasikan cadangan tersebut.
Menurutnya, idea yang dibincangkan sejak 2023 itu masih memerlukan sokongan dan pembiayaan.
“Setiap kali Deepavali, yang paling meriah dengan aktiviti bazar Deepavali adalah di Jalan Ara,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Bersama Komuniti India Zon Masai di SRK Sweets Cafe.
Beliau berkata kemeriahan tersebut menunjukkan potensi kawasan berkenaan untuk dibangunkan dengan identiti tersendiri, sambil membuka lebih banyak peluang kepada peniaga tempatan.
Sebagai langkah awal, sebuah mural di sisi premis SRK Sweets Cafe telah ditaja oleh pihak kafe selepas beliau mencadangkan penghasilannya.
Encik Madyasir berkata mural itu bertujuan memperlihatkan kepada MBPG potensi Jalan Ara untuk dibangunkan sebagai Little India.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus mengusahakan saranan tersebut sepanjang memegang amanah sebagai ahli majlis bagi zon berkenaan.
Usaha itu seiring dengan Pelan Peremajaan Pekan Masai yang dilancarkannya pada November 2022 bagi memperbaharui wajah pekan lama tersebut.
Menurutnya, pendekatan pembangunan Masai perlu mengekalkan identiti pekan itu sambil memperbaiki penampilan dan kemudahan sedia ada.
Antara usaha yang telah dilaksanakan ialah mengecat bangunan kedai di sepanjang Jalan Masai Lama dengan warna merah, biru, putih dan kuning.
Beliau berkata sebanyak 70 peratus kos kerja mengecat ditanggung MBPG, manakala baki 30 peratus ditanggung peniaga sendiri.
Terminal Bas Masai turut diberi wajah baharu, selain pembangunan Lorong Seni Masai yang menempatkan bazar karat pada setiap Jumaat dan Sabtu.
Encik Madyasir berkata Lorong Seni Masai Fasa 2 pula sedang diusahakan di belakang Hong Leong Bank dan tokong Cina Masai, dengan sasaran siap pada penghujung 2026.
Beliau sedang berbincang dengan pihak tokong untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai Chinatown Masai. Usulan itu masih pada peringkat perancangan.
Bagi Jalan Ara, beliau turut mencadangkan supaya sambutan Deepavali peringkat Pasir Gudang 2026 diadakan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, penganjuran itu boleh memberi peluang kepada peniaga India setempat membekalkan makanan untuk majlis, selain memperkenalkan perniagaan mereka kepada pengunjung.
Beliau juga berharap kehadiran Datuk Bandar ke kawasan tersebut dapat diusahakan bagi melihat sendiri mural dan potensi pembangunan Jalan Ara.
Encik Madyasir menggalakkan pemilik premis lain mengambil inisiatif mencantikkan kawasan perniagaan masing-masing, seperti yang dilakukan pihak SRK Sweets Cafe.
Menurutnya, kerjasama peniaga penting untuk memperbaharui wajah kawasan itu dan menyokong perkembangan perniagaan tempatan.
Program komuniti berkenaan turut merangkumi sumbangan sempena Deepavali kepada sembilan keluarga yang ditaja MIC Bahagian Pasir Gudang.
Beliau berkata kegiatan mendekati masyarakat perlu diteruskan supaya pihak berkuasa tempatan dapat berinteraksi secara langsung dengan penduduk dan memahami keperluan mereka.