Majlis Bandaraya Pasir Gudang perkukuh pelan atasi kesesakan, sokong pembangunan JS-SEZ
Majlis Bandaraya Pasir Gudang perkukuh pelan atasi kesesakan, sokong pembangunan JS-SEZ
54 lampu isyarat pintar, projek lebuh raya dan MRR tingkat mobiliti Pasir Gudang
Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mempergiat pelbagai inisiatif bagi menangani isu kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat susulan pembangunan pesat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Datuk Bandar MBPG, Datin Paduka Hazlina Jalil, berkata Pasir Gudang mempunyai potensi besar sebagai kawasan industri utama di Johor, lebih-lebih lagi dengan kedudukannya yang kini menjadi sebahagian daripada JS-SEZ.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi yang pesat perlu diseimbangkan dengan kesejahteraan masyarakat, kelestarian alam sekitar serta pembangunan bandar yang terancang.
“Dalam kita mengejar pembangunan, aspek kesejahteraan masyarakat, kelestarian alam sekitar dan keseimbangan pembangunan bandar akan terus menjadi keutamaan pihak majlis,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata MBPG memberi tumpuan kepada pengurusan bandar yang lebih cekap, peningkatan kemudahan awam dan ruang riadah, selain memastikan pembangunan yang selamat dan lestari.
Dalam masa sama, Datin Hazlina berkata pihaknya memandang serius peningkatan kesesakan lalu lintas yang berpunca daripada tambahan aktiviti industri, komersial dan kediaman di kawasan tersebut.
Menurutnya, hasil cerapan data lampu isyarat pintar berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) menunjukkan aliran trafik yang tinggi pada waktu puncak.
“Lebuhraya Pasir Gudang merekodkan lebih 6,000 kenderaan sejam, manakala Jalan Permas–Pasir Gudang dan Jalan Masai Lama mencatat antara 4,000 dengan 5,000 kenderaan sejam,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan beberapa laluan utama telah menghampiri kapasiti maksimum dan memerlukan penyelesaian segera.
Sehubungan itu, sebanyak 54 lampu isyarat pintar berasaskan teknologi AI akan dipasang secara berperingkat menggunakan konsep continuous green wave bagi menyelaras aliran trafik secara dinamik.
Katanya, sistem itu mampu mengurangkan masa menunggu di persimpangan serta meningkatkan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya.
Selain itu, projek menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang daripada empat kepada enam lorong yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia dijangka siap pada Julai 2026 dan akan memberi impak besar terhadap kapasiti trafik.
Bagi perancangan jangka sederhana, MBPG bersama agensi teknikal akan melaksanakan kerja menaik taraf beberapa persimpangan utama termasuk di Jalan Mesjid, Jalan Besar dan Jalan Bandar melalui pelebaran susur dan penambahan lorong.
Datin Hazlina berkata langkah itu selari dengan pembinaan Jejambat Jalan Besar yang dijangka dapat mengurangkan konflik pergerakan serta mempercepat aliran trafik di kawasan tersebut.
Dalam masa sama, projek Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR) yang menghubungkan Bandar Seri Alam dan Desa Cemerlang turut dirancang sebagai laluan alternatif bagi mengurangkan tekanan trafik ke pusat bandar Johor Bahru.
Beliau berkata usaha memperkukuh pengangkutan awam juga dipergiat melalui perancangan perkhidmatan penumpang dari Pasir Gudang ke Kempas serta penyediaan kemudahan tempat letak kenderaan dan guna pengangkutan awam di Taman Air Biru yang dijangka siap pada 2026.
“Inisiatif ini bertujuan menggalakkan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam sekali gus mengurangkan beban trafik harian,” katanya.
Beliau menegaskan MBPG akan terus melaksanakan pemantauan berterusan serta penyelarasan bersama semua agensi bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara berkesan.
“Majlis komited memastikan kelancaran trafik, keselamatan pengguna jalan raya serta kesejahteraan penduduk sentiasa menjadi keutamaan dalam pembangunan Pasir Gudang,” katanya.

