“Tak lengkap Raya kalau tak datang ke Jalan TAR (Tuanku Abdul Rahman) dan Jalan Masjid India. Tak beli pun tak mengapa, yang penting kena join the vibe dan mood (ambil suasana) Raya,”.
Demikian kata Cik Nuraidah Soib, 53 tahun, dari Kajang, Selangor, yang ditemui Berita Minggu (BM) ketika membeli belah persiapan Aidilfitri di Jalan TAR, Kuala Lumpur.
Cik Nuraidah adalah antara ribuan pengunjung ‘tetap’ Jalan TAR untuk membeli persiapan Aidilftiri dan beliau turut membeli barangan kemas di Jalan Masjid India.
Di Malaysia, Jalan TAR yang terletak bersebelahan dengan Jalan Masjid India – iaitu lokasi berlakunya tragedi lubang benam yang mengorbankan seorang pelancong wanita warga India pada Ogos 2024 lalu – amat sinonim sebagai pusat sehenti bagi orang ramai membeli belah kelengkapan Raya.
Jalan TAR lengkap dengan jualan keperluan daripada hujung rambut hingga hujung kaki, dengan pelbagai peringkat harga dan jenis perniagaan.
Daripada bazar Aidilfitri yang menawarkan barangan pada harga rendah dan mampu milik, sehinggalah ke butik pakaian yang berharga murah dan berjenama selain pusat beli belah, menjadikannya lokasi wajib kunjung buat masyarakat bukan saja dari Lembah Klang, malah dari serata Malaysia untuk membeli kelengkapan Raya
Jalan Masjid India pula lebih terkenal sebagai lokasi bagi orang ramai membeli pakaian dan barangan kemas, selain menjadi lokasi kegemaran buat masyarakat India Muslim dan pelancong seperti dari Singapura, Indonesia, Pakistan, India juga Bangladesh.
Namun, bagi peniaga di Jalan TAR, lokasi yang turut terkenal dengan sejarah, aktiviti seni dan kebudayaan serta tarikan pelancong itu ibarat semakin hilang ‘aura’ dek kerana jualan yang kian meleset dari tahun ke tahun, termasuk pada Ramadan 2025 ini.
Tinjauan BM di Jalan TAR dan Jalan Masjid India mendapati, benar lokasi itu kurang pengunjung pada sebelah siang, mungkin disebabkan cuaca agak panas kebelakangan ini dan hujan di sebelah petang.
Namun, pada sebelah malam, ia tetap meriah sebagaimana suasana lazim setiap kali menjelang Aidilfitri, walaupun saya akui pada tahun-tahun lalu kesesakannya lebih padat berbanding sekarang.
Kesimpulan itu adalah hasil temu bual rambang penulis bersama 20 pengunjung yang rata-ratanya mengakui datang ke Jalan TAR untuk ‘cuci mata’ dan bersiar-siar, namun akan membeli sekiranya terjumpa yang berkenan di hati dan harga menarik.
Tidak kurang juga yang membuat tinjauan awal barangan yang ingin dibeli dan akan datang semula pada penghujung Ramadan ketika banyak peniaga ‘buang harga’ demi menghabiskan barangan jualan.
Pada 2025 ini juga, buat kali pertama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT), mengambil alih pengurusan dan penyeliaan bazar Ramadan dan Aidilfitri di Jalan TAR, menyebabkan peniaga mendakwa wujud beberapa kelemahan yang memberi kesan kepada perniagaan mereka.
Bagi peniaga songkok di bazar Aidilfitri Jalan TAR, Cik Nur Eyra Talib, 32 tahun, beliau sedih kerana bukan saja perniagaan kian perlahan, tetapi juga gerainya turut terjejas dalam kejadian ribut baru-baru ini, menyebabkan beliau mendakwa kerugian RM30,000 ($9,010).
“Konsep penyusunan gerai secara back to back (membelakangi) menyebabkan ramai peniaga tidak menerima pengunjung kerana pelanggan malas hendak berpusing. Konsep dulu yang mana setiap gerai menghadap satu sama lain lebih baik dan memudahkan pelanggan.
“Sudah masuk minggu ketiga Ramadan tapi jualan sangat teruk. Macam hari ini walaupun hari cuti, tetapi saya belum ada jualan lagi,” katanya yang membuka dua gerai di bazar itu.
Peniaga kuih Raya, Cik Salmiah Saarani, 55 tahun, juga menghadapi masalah sama dan terpaksa menurunkan harga jualan kuih buatan sendiri serendah RM50 untuk tiga bekas.
“Kalau jual tinggi sikit tak ada orang hendak beli, persaingan pun banyak. Jadi terpaksa turunkan harga sedangkan kos pengeluaran produk tinggi kerana kami buat secara kecil-kecilan,” kongsinya.
Cik Juliana Nasrul, 24 tahun, yang membantu bapanya menjual baju Melayu, berkata kadar sewa tapak memang rendah selepas diambil alih DBKL, namun ia tidak memadai untuk menampung kos berikutan kunjungan pelanggan amat rendah.
“Berbanding 2024, tahun ini lebih teruk jualan kami. Minggu pertama langsung tiada jualan. Harga baju Melayu pun kami turunkan daripada RM140 kepada RM99 sepasang.
“Sekarang kami cuma berharap pasar malam Jalan TAR di kawasan berhampiran dapat menarik kedatangan pelanggan ke bazar ini. Namun tak dinafikan kedudukan gerai yang tersorok sukar tarik pelanggan,” katanya.
Daripada pemantauan BM, butik pakaian dan tudung di Jalan TAR mendapat sambutan baik pelanggan pada sebelah siang, mungkin kerana keadaan kedai lebih selesa dengan penghawa dingin untuk membeli belah, berbanding di bazar yang agak panas.
Cik Nurjasmin Josephine Jamal, 23 tahun, terbang dari Sibu, Sarawak ke Jalan TAR bersama keluarganya untuk membeli pakaian Raya.
“Saban tahun saya dengar orang bercerita mengenai kemeriahan Jalan TAR dan alhamdulillah tahun ini ada rezeki sampai ke sini. Saya seronok kerana banyak jumpa pakaian murah namun tetap cantik. Jadi boleh beli lebih sedikit untuk keluarga,” katanya.
Cik Fauziah Mat Nor, 64 tahun, pula berkata setiap tahun menjelang Aidilfitri beliau tidak pernah ketinggalan datang ke Jalan TAR.
“Di sini banyak barangan murah. Orang KL kalau tak datang Jalan TAR untuk shopping Raya memang tak sah. Hari ini mak cik beli pakaian. Dah jumpa yang berkenan terus beli,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg