KUALA LUMPUR: Di sebalik usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghapuskan kartel tapak bazar, sebuah persatuan peniaga mendakwa separuh daripada 216 tapak di bazar Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur, sudah berpindah milik kepada kartel.
Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL) mendedahkan pihaknya mengesan empat broker dalam kegiatan kartel itu, yang dipercayai menjual setiap tapak berkenaan pada harga antara RM7,000 ($2,105) hingga RM12,000.
Presiden PPPBWPKL, Datuk Seri Rosli Sulaiman, berkata pihaknya mengesan ada antara penjaja menjual tapak mereka kepada kartel, sebelum kartel menjual semula kepada penjaja pada harga dua kali ganda.
“Ini kerana penjaja ini mahu mengambil jalan mudah untuk mendapatkan keuntungan cepat dengan menjual tapak yang dimiliki kepada kartel,” katanya, lapor Harian Metro.
Datuk Rosli berkata pihaknya juga dimaklumkan bahawa DBKL ada mengeluarkan saman bagi kesalahan pemilik tidak berada di tapak jualan.
“Ada kegiatan kartel yang dikesan berselindung di sebalik pembantu. Ketika pemeriksaan dilakukan, hanya pembantu berada di tapak jualan.
“Bagi tindakan penguatkuasaan itu (pemilik tiada di tapak jualan), kami mahu DBKL ambil tindakan lebih tegas dengan menutup operasi jualan penjaja terbabit bagi kesalahan sama yang dilakukan tiga kali.
“Tindakan mengosongkan tapak jualan bagi peniaga melakukan kesalahan itu boleh membantu memuktamadkan kegiatan kartel yang sudah berlaku sejak berkurun lamanya,” katanya.
Beliau berkata pihaknya ada membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendedahkan kegiatan kartel di bazar berkenaan.
“Laporan pertama kami buat kepada SPRM Kuala Lumpur berhubung isu ini pada 24 Februari lalu dan perkara itu dibawa ke peringkat Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Pada masa sama, kami juga membuat laporan kepada pihak PDRM bagi mendedahkan perkara ini supaya ia tidak berulang lagi pada tahun akan datang,” katanya.
Menurut Datuk Rosli jabatan bertanggungjawab menguruskan penjaja dalam DBKL perlu dirombak dan perlu diterajui oleh individu yang memahami sosioekonomi golongan berkenaan.
“Wujud keraguan dalam kalangan masyarakat yang mencemarkan imej persatuan apabila kami dilabel terbabit dengan kegiatan kartel.
“Ini sekali gus menyusahkan kami untuk menjalankan tanggungjawab menjaga komuniti penjaja. Jika kata kami terbabit kartel, kena ada bukti dan bukan sekadar tohmahan,” katanya.
Untuk rekod, pada 2025 ini, buat julung kalinya DBKL mengambil alih pengurusan tapak bazar Ramadan di Kuala Lumpur, bagi menghapuskan penguasaan kartel yang menyebabkan peniaga terpaksa membayar sewa sehingga puluhan ribu ringgit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg