Kunjungan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, ke Singapura baru-baru ini begitu bermakna kepada hubungan erat antara dua negara jiran Singapura dan Malaysia.
Boleh dikatakan hubungan ini bak kata peribahasa, bagai isi dengan kuku – bermakna persahabatan yang sangat karib.
Lawatan itu merupakan lawatan luar negara pertama bagi Sultan Ibrahim sejak dilantik menjadi Agong pada 31 Januari. Ini satu petunjuk tentang hubungan amat rapat yang sedia ada antara kepimpinan dua negara itu, khususnya antara Agong dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan pemimpinan lain Singapura.
Lawatan itu diadakan sebelum peralihan kepimpinan Singapura pada 15 Mei, apabila PM Lee menyerah tampuk pemerintahan kepada timbalannya, ketua pasukan generasi keempat (4G), Encik Lawrence Wong.
Justeru, Sultan Ibrahim dapat bertemu kededuanya, PM Lee dan Encik Wong dalam lawatan beliau, yang dilakukan atas undangan Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Dalam satu majlis meraikan Sultan Ibrahim, Presiden Tharman berkata Singapura berharap untuk terus bekerjasama rapat dengan beliau, yang merupakan sahabat karib Singapura sejak sekian lama, bagi meningkatkan lagi hubungan antara dua negara.
“Mewakili semua rakyat Singapura, kami amat berbesar hati bahawa Seri Paduka Baginda memutuskan untuk membuat Lawatan Negara pertama sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke Singapura.
“Di bawah kepimpinan dan sokongan padu Seri Paduka Baginda, kita boleh bersama-sama meningkatkan lagi hubungan kerjasama dan persahabatan Singapura-Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” kata Presiden Tharman dalam ucapannya pada Jamuan Negara di Istana.
Dalam ucapan beliau, Sultan Ibrahim berkata hubungan Singapura dan Malaysia adalah istimewa.
“... (Ia) terikat oleh sejarah dan budaya yang serupa serta hubungan ekonomi yang erat,” katanya, sambil menambah bahawa salah satu unsur terasnya ialah ikatan erat yang dinikmati Singapura dan Johor selama berdekad-dekad.
Sultan Ibrahim adalah Sultan Johor sebelum dilantik sebagai Agong pada 31 Januari 2024. Semasa beliau menjadi Agong, anaknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, ditabal sebagai Pemangku Sultan Johor pada 28 Januari.
Sultan Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada PM Lee atas sumbangannya mengeratkan hubungan antara dua negara dan mengucapkan tahniah kepada Encik Wong atas pelantikan barunya.
“Saya yakin bahawa kepimpinan yang terhormat ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara dua negara ini,” ujarnya.
Sultan Ibrahim turut memberi penghormatan kepada Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, kerana menjadi ketua arkitek Singapura selain berkongsi kisah hubungan rapat beliau dengan keluarga mendiang Encik Lee.
“Beliau telah meletakkan asas kukuh penting untuk republik ini. Beliau telah membimbing ramai orang dan suka bersyarah. Saya sendiri tidak terlepas daripada mendengar syarahan beliau.
“Beliau memberi syarahan mengenai pelbagai topik kepada saya dan banyak yang saya belajar daripadanya,” kongsi Sultan Ibrahim.
Mendiang Encik Lee, kata Agong, antara lain berkongsi keperluan kekal konsisten dalam sesuatu dasar kerana pendekatan ini akan menarik pelabur jangka panjang, yang penting kepada pertumbuhan ekonomi.
Dalam satu catatan Facebook, PM Lee pula berkata Singapura dan Malaysia berkongsi persahabatan rapat yang disokong oleh hubungan sejarah dan hubungan kukuh antara kerajaan dan perniagaan di kedua-dua negara.
Sebagai dua negara jiran rapat, Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan baik, walaupun kadangkala ada pasang surutnya.
Namun keadaan itu tidak harus menjejas hubungan erat sedia ada. Selagi dua negara ini kekal fokus dan terus bekerjasama dan saling melengkapi, manfaatnya akan diraih bersama.
Contohnya ialah kerjasama dalam projek besar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Projek ini dijangka memberi manfaat kepada pertumbuhan pelaburan Johor yang teguh, yang telah pun menyaksikan pelaburan sebanyak RM70.6 bilion ($20.3 bilion) pada 2022 merentasi pelbagai sektor, termasuk elektronik dan pembuatan makanan.
Hingga enam bulan pertama 2023, Singapura adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dengan perdagangan bernilai RM181.3 bilion ($51.86 bilion), meningkat 6.1 peratus daripada RM170.8 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2022, menurut Berita Harian Malaysia.
Sebarang isu atau cabaran antara dua negara harus ditangani secara baik, berbaik sangka dan penuh muhibah, dan kekal fokus demi mendapat huraian terbaik dan saling menguntungkan kedua-dua pihak.
Dengan pendekatan ini, dua negara ini akan terus menjadi negara jiran bersahabat baik dan sama-sama makmur, bukan bagai isi dengan kuku sahaja, bahkan bagai aur dengan tebing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg