Topik diikuti
Pergi ke BHkuJangan biar perbezaan pandangan pecahkan Umno
Barisan kepimpinan, anggota parti perlu rapatkan saf, utamakan kepentingan bersama
Jangan biar perbezaan pandangan pecahkan Umno
JOHOR BAHRU: Perbezaan pandangan dalam Umno tidak boleh dibiarkan menjadi punca perpecahan, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk menilai kelemahan dan memperkukuh parti.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata barisan kepimpinan dan anggota parti perlu merapatkan saf serta mengutamakan kepentingan perjuangan bersama.
“Perbezaan pandangan jangan sesekali menjadi titik perpecahan.
“Sebaliknya, jadikan kepelbagaian pandangan sebagai kekuatan untuk kita bermuhasabah, memperbaiki kelemahan dan terus melangkah bersama dengan satu tekad serta matlamat yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 September.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Presiden yang membuka tirai Perhimpunan Agung Umno 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Menurut Datuk Onn Hafiz, Umno juga perlu terus menghormati dan mempertahankan asas negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ini termasuk kedudukan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak dan kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
“Asas-asas ini menjadi tunjang kepada kestabilan, keharmonian dan perpaduan negara.
“Seluruh barisan kepimpinan dan ahli parti perlu terus bersatu serta memperkukuh saf bagi memastikan Umno kekal sebagai wadah yang membawa dan memperjuangkan suara rakyat,” katanya.
Beliau berharap perhimpunan tahunan itu dapat mengukuhkan hubungan dalam kalangan anggota parti itu, menyatukan tekad serta memperkasa perjuangan Umno.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pagoh, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata masa depan parti itu tidak boleh bergantung pada sejarah semata-mata.
Sebaliknya, kelangsungan Umno akan ditentukan oleh tindakan yang diambil pemimpin dan anggotanya hari ini.
“Umno mempunyai sejarah yang panjang. Namun, masa depan parti tidak boleh hanya bergantung kepada sejarah.
“Yang akan menentukan masa depan Umno ialah apa yang kita lakukan hari ini,” katanya.
Menurut Encik Mohamad Fazli, perhimpunan tersebut bukan sekadar ruang untuk bersidang, tetapi medan membawa suara akar umbi dan memahami masalah sebenar yang dihadapi rakyat.
Beliau berkata parti yang mahu kekal dalam hati rakyat perlu turun padang, mendengar keluhan masyarakat dan bekerja bersama mereka.
“Perjuangan tidak pernah berhenti pada satu perhimpunan. Ia diteruskan melalui keberanian untuk mendengar, kesediaan untuk berubah dan kesetiaan untuk terus berkhidmat.
“Parti tidak boleh hanya bercakap tentang rakyat. Parti mesti turun, mendengar dan bekerja bersama rakyat,” katanya.
Encik Mohamad Fazli turut menggesa anggota parti itu supaya menilai kekuatan, mengakui kelemahan dan mencari jalan memperbaiki perkara yang masih belum dapat diselesaikan.
Menurutnya, perbezaan pandangan tidak seharusnya dianggap ancaman kepada kesatuan parti itu kerana ia dapat membantu anggotanya melihat sesuatu perkara dari sudut lebih luas.
“Kita mungkin tidak sentiasa melihat sesuatu perkara dengan cara yang sama, tetapi kita mesti tahu arah yang mahu dituju.
“Apabila perbincangan selesai dan keputusan dibuat, kita perlu kembali berdiri dalam satu barisan, bekerja sebagai satu pasukan dan berkhidmat demi rakyat,” katanya.
Beliau berharap Perhimpunan Agung Umno 2026 menjadi titik untuk menyatukan tekad dan mengembalikan parti itu kepada asas perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
