Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang akan membuka tirai pada 9 September sebelum kemuncaknya pada 11 dan 12 September, dijangka menjadikan agenda perpaduan Melayu/Islam serta hala tuju politik parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebagai antara fokus utama.

PAU 2026 yang berlangsung hanya beberapa hari selepas satu lagi parti Melayu/Islam terbesar – Parti Islam SeMalaysia (PAS) – selesai mengadakan Muktamar Tahunan ke-72 pada 5 September di Kelantan, turut dijangka lebih menarik dengan kehadiran pimpinan PAS.

Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dua usul paling popular diterima daripada bahagian kali ini, iaitu soal hala tuju dan kerjasama politik Umno khususnya dalam kerangka Kerajaan Perpaduan, selain agenda Rumah Bangsa yang digagaskan pada PAU 2025.

Datuk Asyraf Wajdi berkata kepemimpinan Umno menyerahkan kepada perwakilan untuk membahaskan secara terbuka hala tuju parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk sama ada meneruskan kerjasama atau memilih pendekatan lain pada masa depan.

Umno/Barisan Nasional (BN) ketika ini adalah antara gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang lalu, Umno/BN telah menjalin persefahaman lebih dekat dengan gabungan pembangkang – Perikatan Nasional (PN) yang diterajui PAS, selepas langkah awal bermula secara tidak rasmi pada PRN Johor.

Malah, pemimpin Umno juga menyambut jemputan PAS untuk hadir ke perasmian muktamar parti itu pada 4 September, yang menyaksikan PAS mengangkat agenda penyatuan ummah sebagai salah satu daripada tujuh agenda bertindak menuju PRU16.

Ketika ini, PAS dan Umno/BN juga dikatakan sudah memulakan rundingan untuk melanjutkan persefahaman itu di PRN Melaka yang akan diadakan dalam masa terdekat, namun sejauh ini belum ada sebarang keputusan muktamad dicapai.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata hakikat bahawa isu kelangsungan kerjasama politik dan gagasan Rumah Bangsa menjadi antara usul paling dominan daripada 157 bahagian Umno seluruh negara, menunjukkan akar umbi masih mencari formula terbaik untuk memulihkan kekuatan Umno.

Beliau berpandangan Umno tidak boleh terlalu lama berada dalam keadaan kabur kerana jika parti dilihat mahu bekerjasama dengan semua pihak tanpa menjelaskan prinsip dan matlamatnya, pengundi mungkin melihat Umno sebagai oportunis atau tidak mempunyai pendirian yang konsisten.

“Pada pandangan saya, Umno sedang mengamalkan strategi politik dua landasan. Landasan pertama ialah mempertahankan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan kerana kerjasama dengan PH memberikan Umno kestabilan pentadbiran dan ruang untuk terus memainkan peranan dalam kerajaan.

“Landasan kedua pula ialah membuka semula hubungan dengan PAS bagi mengukuhkan sokongan Melayu Islam dan menyediakan pilihan politik menjelang PRU16.

“Oleh itu saya berpandangan PAU 2026 perlu menjelaskan sekurang-kurangnya tiga perkara iaitu sama ada kerjasama dengan PH bersifat strategik untuk tempoh panjang, bentuk hubungan yang mahu diwujudkan dengan PAS, serta kedudukan Umno sebagai peneraju BN,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Dr Mohammad Tawfik melihat strategi Umno mengamalkan strategi politik dua landasan itu sebagai langkah memperluas pilihan dan meningkatkan kuasa tawar-menawarnya.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya itu juga melihat kehadiran pemimpin PAS dan ketiadaan jemputan kepada pemimpin PH pada PAU 2026, mempunyai nilai simbolik yang kuat, namun belum mencukupi untuk membuktikan bahawa Umno sudah memutuskan untuk menyingkirkan PH menjelang PRU16.

“Situasi ini menunjukkan hubungan Umno-PAS sedang melalui proses pemulihan selepas beberapa tahun renggang.

“Jemputan ke perhimpunan parti ialah isyarat diplomatik kerana pembentukan pakatan pilihan raya pula memerlukan rundingan yang jauh lebih rumit khususnya mengenai pembahagian kerusi, calon, kepimpinan gabungan dan hubungan PAS dengan parti-parti lain dalam PN,” katanya.

Namun menurut beliau keputusan tidak menjemput PH mungkin bertujuan memberikan ruang kepada Umno menampilkan PAU sebagai pentas dalaman parti dan mengembalikan keyakinan akar umbi bahawa Umno masih mempunyai autonomi politik.

“Malah ini juga boleh menjadi isyarat kepada PH bahawa sokongan Umno dalam Kerajaan Perpaduan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang automatik,” katanya.

Bagaimanapun, Geostrategis dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, berpandangan PAU 2026 berpotensi menghasilkan pendirian lebih jelas daripada akar umbi Umno supaya kerjasama dengan PN dimuktamadkan, berbanding PH.

Beliau berkata walaupun Umno memberi kuasa kepada kepimpinan negeri untuk berunding dengan mana-mana parti untuk pilihan raya, akar umbi dilihat lebih cenderung kepada kerjasama dengan PN.

“Bagi saya, salah satu resolusi PAU kali ini ialah ahli mahu kerjasama dengan PN dimuktamadkan. Isi hati akar umbi Umno dan BN ialah mereka mahu kerjasama dengan PN dan bukan PH.

“Penolakan terhadap PH, terutama salah satu komponen utamanya – Parti Tindakan Demokratik (DAP), amat tinggi dan sukar untuk pemimpin Umno membuat keputusan sebaliknya,” katanya.

Oleh itu beliau berkata PAU 2026 bukan sekadar medan menentukan pendirian Umno terhadap PAS atau PH, sebaliknya menjadi ujian sejauh mana parti itu mampu menyusun semula kedudukannya dan memanfaatkan kededua hubungan politik tersebut tanpa dilihat tidak konsisten menjelang PRU16.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti