Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jangan takutkan pelabur ke Johor dengan fitnah, tohmahan jahat

Aug 21, 2025 | 11:10 AM
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto ihsan PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

ISKANDAR PUTERI (Johor): Kerajaan Johor menepis dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menakutkan pelabur dengan mengatakan negeri itu tidak dapat menyediakan bekalan air dan elektrik mencukupi sekiranya mereka melabur.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata dakwaan itu adalah satu fitnah dan tohmahan yang berniat jahat terhadap usaha kerajaan menarik masuk pelaburan antarabangsa khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Inisiatif yang dilakukan menggunakan pendekatan yang menyeluruh dengan kerjasama kerajaan Persekutuan dalam menyediakan kemudahan yang terbaik kepada pelabur.

“Bukan itu sahaja, kita juga mewujudkan jawatankuasa khas yang membabitkan tiga Exco Kerajaan negeri membabitkan portfolio Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia; Infrastruktur dan Pengangkutan serta Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Jadi, bila ada syarikat yang ingin membangunkan pusat data di Johor, kita akan lihat dahulu dan jika tak cukup bekalan elektrik dan air, kita tak akan luluskan permohonan mereka,” katanya, lapor MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Projek Bandar Industri MBW Innexus serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) di Forest City, pada 20 Ogos.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tambah Datuk Onn Hafiz, kerajaan Johor turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menggunakan bekalan air alternatif dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd bagi memastikan air mencukupi.

Tambahnya, kerajaan negeri juga mempunyai pelan jangka masa panjang melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga 2030.

“Johor sangat serius untuk membawa masuk pelaburan ke negeri ini dan kita akan pastikan pelabur yang memilih Johor akan berasa selamat kerana mempunyai bekalan air dan elektrik yang mencukupi.

“Bagi pihak yang cuba menangguk di air keruh, saya harap mereka ini berhenti sahaja kerana yang kita nak bangunan bukan sahaja ekonomi Johor, bahkan turut memberi kesan kepada negara,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg