Kerajaan Johor dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menubuhkan Jawatankuasa Khas Bekalan Air Johor pada 31 Julai 2025.
Langkah itu bagi memastikan semua projek sumber air mentah dan loji rawatan air di negeri itu berjalan mengikut jadual dan memenuhi keperluan penduduk serta industri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata jawatankuasa tersebut dipengerusikan bersama oleh beliau dan Ketua Setiausaha Kementerian Petra, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.
Kerajaan Persekutuan melalui Petra telah meluluskan tiga Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang dijangka menjadi tonggak utama kepada bekalan air negeri menjelang 2030.
Projek tersebut ialah TAPS Sungai Johor dengan kapasiti 200 juta liter sehari bernilai RM605 juta ($183 juta), yang akan bermula pada Jun 2026, dan TAPS Sungai Pontian dengan kapasiti 100 juta liter sehari, bernilai RM455.12 juta yang akan dimulakan Disember 2026.
Satu lagi ialah TAPS Sungai Sedili dengan kapasiti 600 juta liter sehari bernilai RM572.4 juta yang dijadualkan bermula pada April 2027.
Kesemua projek dijangka siap menjelang Disember 2030.
“Kerajaan Johor amat menghargai sokongan Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan tiga projek utama ini. Ia selari dengan keperluan kami menyediakan keseimbangan antara bekalan air mentah dengan loji rawatan air baru yang akan dibina,” katanya selepas meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Semanggar di Kulai, pada 18 Ogos.
Encik Mohamad Fazli menjelaskan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah diberi tanggungjawab membina beberapa LRA baru bagi melengkapkan sumber air mentah itu.
Antara yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ialah LRA Semanggar 3 dengan kapasiti 200 juta liter sehari bernilai RM750 juta yang akan bermula pada April 2027; LRA Kayu Ara Pasong Fasa 1 di Pontian dengan kapasiti 90 juta liter sehari, bernilai RM504 juta bermula Mac 2028; serta LRA Sungai Sedili Besar dengan kapasiti 600 juta liter sehari bernilai RM2.4 bilion, yang akan dimulakan pada Mac 2028 dan siap sepenuhnya menjelang 2031.
Menurutnya, terdapat juga cadangan agar projek TAPS Sungai Sedili dinaik taraf kepada empangan supaya lebih banyak kawasan tadahan air dapat diwujudkan, selain perancangan untuk memindahkan air mentah dari Sungai Sembrong bagi menambah kapasiti bekalan selepas 2030.
“Kesemua projek ini membuktikan sinergi antara kerajaan negeri, Petra, PAAB dan Ranhill SAJ dalam memastikan perancangan bekalan air Johor bukan sahaja cukup untuk rakyat, tetapi juga mampu menampung perkembangan pesat sektor industri seperti pusat data,” tambah Encik Mohamad Fazli.
Beliau menegaskan, Johor merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai dua lapisan jawatankuasa kelulusan pusat data bagi menjaga keseimbangan pembangunan ekonomi dengan kelestarian sumber, khususnya air.
“Setiap permohonan pusat data dinilai secara terperinci melibatkan pelbagai agensi termasuk Ranhill SAJ, Tenaga Nasional Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta pakar keselamatan siber,” jelasnya.
Beliau berkata, di peringkat teknikal, kerajaan negeri menasihati pemaju pusat data supaya menggunakan teknologi mesra alam, antaranya sistem penyejukan semula air yang membolehkan air digunakan sehingga enam kali.
Selain itu, mereka digalakkan menggunakan sumber air alternatif seperti air bawah tanah, air sungai dan air terawat daripada loji kumbahan bagi mengurangkan kebergantungan pada sumber sedia ada.
Johor juga menjadi negeri pertama menetapkan penanda aras Indeks Keberkesanan Penggunaan Air (WUE) pada kadar 1.8 unit, yang diambil berdasarkan amalan terbaik pusat data di Singapura.
“Ini bermakna penggunaan air bagi sektor data dikawal rapi agar tidak menjejaskan hak rakyat terhadap bekalan air bersih,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg