Pulau Jerejak, sejarahnya bukan sahaja menjadi pusat kuarantin bagi pesakit batuk kering (TB) dan kusta tetapi turut menjadi penjara kepada banduan berbahaya selain ahli politik.

Berikutan itu, pulau berkenaan turut dikenali sebagai ‘Alcatraz Malaysia’ kerana menyerupai Pulau Alcatraz di Teluk San Francisco, California, yang menjadi simbol penjara paling kejam dengan penyeksaan mental.

Justeru tidak hairanlah Pulau Jerejak turut terpalit dengan pelbagai kisah menyeramkan yang dikaitkan dengan unsur mistik kononnya roh pesakit dan tahanan masih ‘bebas’ di situ hingga ke hari ini.

Menurut pengkaji bebas, Encik Mike Gibby, menerusi bukunya ‘Jerejak: Penang’s Untold Story’, pulau itu menempatkan hospital kusta sejak tahun 1868, seterusnya menjadi stesen kuarantin imigran (1875) dan seterusnya penjara keselamatan tinggi.

Bagaimanapun menjelang 1927 ketika di bawah pengurusan British, pulau berkenaan menjadi pusat rawatan kusta utama menempatkan hampir 900 pesakit.

Kesempatan ke Pulau Jerejak minggu lalu bagi melakukan kegiatan pendakian bersama kumpulan pendaki #Jerejaktrekkers, penulis Berita Harian Malaysia (BHM), Zuhainy Zulkiffli, berkesempatan menjejak misteri serta tinggalan sejarahnya.

Berikutan pulau itu mempunyai hutan simpan, permit kemasukan boleh dibuat seawal dua minggu sebelum tarikh pendakian.

Penulis menyertai sekumpulan pendaki bersama tiga Malim Gunung Perhutanan (MGP), menaiki bot seawal 8 pagi di jeti di Bayan Lepas yang mengambil masa kurang 15 minit untuk tiba di jeti usang Pulau Jerejak.

Pengunjung diingatkan supaya berhati-hati dengan setiap langkah kerana terdapat serpihan struktur yang pecah atau rosak berikutan keadaan cuaca selain perlu peka terhadap binatang berbisa.

Sebaik tiba di pulau itu, suasananya amat mendamaikan dan tenteram tanpa bunyi kenderaan, hanya sekali sekala terdengar deruan enjin bot nelayan pergi dan membawa pulang hasil tangkapan.

Kira-kira 100 meter dari jeti, terletak ‘Bangunan 1911’ yang berfungsi sebagai pejabat pengurusan bagi ratusan hingga ribuan pendatang sepanjang kem kuarantin itu digunakan sehingga 1993.

Menurut pengkaji sejarah Pulau Jerejak, Encik Hazriharun Ooi Abdullah, bangunan berkenaan juga menjadi saksi kepada setiap pendatang yang berlabuh di jeti.

Tidak jauh dari Bangunan 1911, terdapat blok yang dijadikan penjara dengan bahagian luarnya mempunyai struktur simen berfungsi sebagai meja makan banduan.

Bahagian dalam blok penjara itu berlantai simen menjadi tempat tidur penghuni dengan di tengahnya terdapat laluan ke tandas dan bilik mandi.

Menurut Encik Hazriharun, asalnya di situ terdapat puluhan blok penjara namun kini hanya tiga sahaja yang masih tinggal.

“Terdapat juga bangunan berfungsi sebagai kuarters polis namun sebahagiannya sudah rosak akibat dimamah waktu, malah tidak jauh dari situ, terdapat sebuah empangan yang menyalur air bagi kegunaan penjara serta penghuni kuarters.

Gereja kecil Chapel Our Lady of the Holy Rosary dibina pada 1890, antara bangunan paling lama di pulau itu yang masih kukuh, dengan kawasan kelilingnya dipagar bagi memastikan ia kekal sebagai saksi sejarah.

Encik Hazriharun, yang juga pesara guru berkata, gereja berhampiran kawasan laut itu terletak tidak jauh dari hospital yang dijadikan pusat rawatan penyakit kusta.

Kami turut melintasi binaan yang dikenali sebagai Kem Eurasian berikutan penghuninya terdiri daripada orang Eropah dan Asia.

Jumlah mereka dikatakan tidak ramai iaitu kira-kira 16 orang, sebelum bangunan itu digunakan sebagai pusat merawat pesakit TB.

Sebaik kami tiba di penjara kusta, terlintas di fikiran penulis mengenai kisah seram dan mistik berkaitan lokasi itu.

Di situ, terdapat dua blok masih kukuh dengan sebahagiannya dilitupi tumbuhan menjalar, selain terdapat botol kosong berselerakan yang dipercayai ubat kusta.

Kata Encik Hazriharun, penjara kusta menempatkan pesakit yang ganas dan biasanya daripada kumpulan kongsi gelap ketagihan candu.

“Tidak jauh dari penjara itu, terdapat empat ‘underground bunker’ yang fungsinya bukan sebagai tempat perlindungan, tetapi menyimpan air.

“Pulau ini sangat kering dan berlaku gangguan bekalan air pada ketika itu. Kapal British juga kerap singgah bagi mengambil bekalan air serta baiki kapal,” katanya.

Meskipun Pulau Jerejak pernah mencatat sejarah mengenai penyakit TB di Malaysia, pengetahuan umumnya mengenainya masih rendah.

TB adalah sejenis penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria ‘Mycobacterium tuberculosis’ yang biasanya menyerang paru-paru tetapi boleh menjejaskan bahagian lain tubuh seperti otak, tulang dan buah pinggang.

Pakar Respiratori (Pulmonologi), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr Mohd Jazman Che Rahim, berkata TB mula dikesan di Tanah Melayu​ sejak zaman penjajahan British berikutan kemasukan pekerja asing.

Namun peningkatan bilangan kes dan kadar kematian akibat TB meningkat pada pertengahan abad ke-19 dengan mencatatkan sebanyak 3,000 kematian pada 1945.

“Berikutan usaha kerajaan pada ketika itu, bilangannya berjaya dikurangkan namun kekal pada 55 hingga 90 kes bagi setiap 100,000 penduduk atau menjangkiti satu hingga dua individu dalam 2,000 penduduk.

“Berlaku peningkatan kes pada 2010 dengan purata sebanyak 100 kes bagi setiap 100,000 penduduk atau satu dalam 1,000 penduduk,” katanya.

Februari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan sebanyak 503 kes baru dikesan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi kelima tahun ini (ME 5/2026) menjadikan bilangan keseluruhannya mencecah 2,571 setakat ini.

Bagaimanapun, TB pendam iaitu jenis TB yang tidak menunjukkan gejala awal kini menjadi antara cabaran utama kepada KKM, selain isu kebanyakan kes berlaku di kawasan bandar.

“TB boleh menjangkiti mana-mana organ dalam badan dan simptomnya bergantung kepada lokasi jangkitan bakteria itu.

“Serangan TB secara amnya boleh menyebabkan individu mengalami demam terutama pada waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan, letih dan berpeluh dengan banyak pada waktu malam.

“Terdapat beberapa gejala jangkitan lain di tulang belakang yang menyebabkan sakit berpanjangan dan rasa kebas atau lemah pada anggota badan.

“Jangkitan TB pada selaput otak pula boleh menyebabkan sakit kepala, meracau atau koma,” katanya lagi.

Sejarah hitam penularan penyakit itu di negara ini suatu waktu dahulu secara tidak langsung mengubah langkah pencegahan serta rawatannya menjadi lebih baik serta moden.

Dr Mohd Jazman berkata langkah awal yang boleh dilakukan kerajaan pada ketika ialah menempatkan pesakit TB menjalani proses kuarantin di Pulau Jerejak.

“Pada masa dahulu, pesakit dikuarantin di fasiliti kesihatan seperti di Pulau Jerejak atau Institut Perubatan Respiratori Kuala Lumpur dan ia perlu dilakukan kerana rawatan pencegahannya belum wujud serta kebimbangan risiko jangkitan kepada orang sekeliling yang amat tinggi.

“Rawatan TB sangat lama dan memerlukan pemerhatian serta pemantauan rapi di hospital.

“Selepas itu, suntikan vaksin BCG (Bacille Calmette-Guérin) diperkenalkan pada 1961 namun perlindungannya bukan untuk orang dewasa tetapi hanya diberi kepada bayi dan kanak-kanak,” katanya.

Tambahnya, rakyat Malaysia perlu cakna serta bertindak pantas bagi mengelak penularan TB dalam komuniti malah dengan rawatan segera dan mencukupi, penyakit itu boleh disembuhkan.

“TB boleh dicegah dengan beberapa langkah antaranya menjadikan pemakaian pelitup muka sebagai amalan ketika berada di khalayak ramai.

“Jika disahkan dijangkiti TB, pesakit perlu menjalani kuarantin di rumah sekurang-kurangnya bagi tempoh dua minggu pertama rawatan.

“Ubat TB perlu dimakan mengikut dos dan masa yang ditetapkan serta di bawah pemantauan. Kontak rapat seperti rakan dan keluarga, perlu jalani saringan segera dan rawatan jika diarah oleh pihak KKM.

“Paling penting ialah mendapatkan rawatan optimum daripada pengamal perubatan bertauliah bagi penyakit kronik seperti kencing manis dan buah pinggang,”katanya.