Jelajah P. Pinang di Johor beri peluang peniaga kecil dekati pasaran S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jelajah P. Pinang di Johor beri peluang peniaga kecil dekati pasaran S’pura

Feb 2, 2026 | 11:52 AM

Jelajah P. Pinang di Johor beri peluang peniaga kecil dekati pasaran S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Malaysia, Johor, Pulau Pinang, peniaga, Program Jelajah Pulau Pinang @ Johor, Fama
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zinol (kiri), bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, pada Majlis Perasmian Program Jelajah Pulau Pinang. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Seramai 19 peniaga kecil dan sederhana (SME) dari Pulau Pinang menyertai Program Jelajah Pulau Pinang @ Johor dengan harapan dapat menembusi pasaran Singapura, sekali gus mengembangkan jualan produk tradisional mereka ke peringkat lebih luas.

Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bersama Kerajaan Pulau Pinang itu berlangsung selama tiga hari, bermula 30 Januari hingga 1 Februari di Pasar Tani Kekal Datin Halimah di Johor Bahru dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung tempatan serta pelancong, termasuk warga Singapura.

Antara peniaga yang menyertai jelajah berkenaan ialah pemilik Dodol Dapoq Kayu dari Tasek Gelugor, Encik Mohd Hafiz Ramli, 39 tahun, yang melihat Johor sebagai pintu masuk strategik untuk mendekati pasaran Singapura.

Pemilik Dodol Dapoq Kayu dari Tasek Gelugor, Encik Mohd Hafiz Ramli.
Pemilik Dodol Dapoq Kayu dari Tasek Gelugor, Encik Mohd Hafiz Ramli. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurut beliau, produk dodol buatan tradisional yang diusahakan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini menerima permintaan berterusan, termasuk daripada pelanggan Singapura yang membuat pembelian menerusi platform dagang dalam talian.

“Kami bermula secara kecil-kecilan dengan tempahan sahaja, namun sejak PKP, kami memasarkan dodol secara agresif dalam talian. Daripada hanya memasak beberapa kali seminggu, kini kami memasak setiap hari,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Beliau berkata dodol yang dihasilkan masih mengekalkan kaedah tradisional menggunakan kayu api dan gula merah tanpa campuran gula putih, bagi mengekalkan rasa asli serta identiti warisan makanan Melayu.

“Kami hanya menghasilkan dodol asli kerana mahu mengekalkan tradisi. Malah, jika pelanggan datang ketika dodol sedang dimasak, mereka boleh melihat sendiri prosesnya dan turut serta mengacau dodol,” katanya, sambil menyatakan minat untuk mengadakan sesi demonstrasi memasak jika berpeluang mempromosikan produk secara langsung di Singapura.

Turut menyertai program itu ialah pengasas bersama Deborneo Cakery Enterprise dari Bayan Lepas, Cik Nor Qadiza Rosdi, 36 tahun, yang membawa kek lapis Sarawak sebagai produk utama jualan.

Pengasas bersama Deborneo Cakery Enterprise, Cik Nor Qadiza Rosdi (kiri), dan Cik Sharifah Media Fatimah Wan Drahman.
Pengasas bersama Deborneo Cakery Enterprise, Cik Nor Qadiza Rosdi (kiri), dan Cik Sharifah Media Fatimah Wan Drahman. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beliau berkata sambutan di Johor amat memberangsangkan, khususnya daripada pengunjung Singapura, walaupun ini merupakan penyertaan pertama mereka di negeri ini.

“Kami membawa sekitar 20 jenis kek lapis dengan kira-kira 500 bekas untuk jualan. Sambutan sangat baik sehingga kami perlu menambah bekalan,” katanya, sambil memaklumkan perniagaan keluarga itu telah beroperasi hampir enam tahun.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zinol, berkata Program Jelajah Pulau Pinang merupakan platform penting bagi membuka pasaran baru kepada usahawan negeri itu.

Beliau berkata Johor menjadi lokasi strategik kerana kehadiran pelancong Singapura yang tinggi, namun menegaskan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga.

“Harga yang ditawarkan hampir sama seperti di Pulau Pinang. Kita mahu usahawan berniaga secara beretika dan membina kepercayaan pasaran,” katanya.

Menurutnya, program berkenaan sudah memasuki negeri kelima dan akan diteruskan ke beberapa negeri lain bergantung kepada kesediaan serta kemampuan kewangan usahawan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, menyambut baik penganjuran program tersebut dan menggalakkan usahawan Johor memanfaatkan peluang untuk bekerjasama dengan peniaga dari Pulau Pinang.

Beliau berkata pendekatan membawa produk ke lapangan secara bersemuka memberi kesan lebih besar berbanding pemasaran di talian semata-mata, selain membuka ruang kerjasama antara usahawan dua negeri demi manfaat bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg