Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor perhebat eksport produk koperasi ke S’pura melalui JS-SEZ

Nov 20, 2025 | 12:21 PM
Johor, eksport, Singapura
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

Kerajaan Johor melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Johor terus memperkukuh keupayaan eksport koperasi ke pasaran antarabangsa, khususnya Singapura yang kini muncul sebagai destinasi utama permintaan bagi produk makanan, minuman dan barangan keperluan harian keluaran koperasi tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, memaklumkan bahawa pelbagai usaha strategik telah digerakkan untuk memastikan produk koperasi mampu memenuhi standard eksport dan memasuki pasaran rentas sempadan secara lebih tersusun.

Antara inisiatif penting ialah pelaksanaan Program ‘Groom Big’ Produk Koperasi yang menyediakan peruntukan RM50,000 ($15,650) bagi setiap koperasi.

“Melalui program ini, koperasi dibimbing untuk meningkatkan mutu produk, mendapatkan pensijilan halal serta memenuhi keperluan piawaian antarabangsa.

“Kerjasama turut dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Negeri Johor bagi mempercepatkan urusan sijil halal supaya produk dapat menembusi pasaran dengan lebih pantas,” katanya ketika berucap dalam sesi soal jawab Dewan Negeri pada 20 November.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Zulkurnain Kamisan (Umno-Sri Medan) dalam Sidang Dewan Negeri.

Selain itu, penubuhan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (Jetco) di Singapura turut memainkan peranan sebagai pusat penghubung bagi memperluas pasaran koperasi Johor ke Singapura.

“Melalui Jetco, koperasi dibantu mengenal pasti peluang dagangan baru, membina rangkaian industri dan mendapatkan khidmat konsultasi berkaitan eksport.

“Dalam masa yang sama, pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut membuka ruang ekonomi yang lebih luas kepada koperasi untuk terlibat dalam sektor pemprosesan makanan, logistik, pelancongan, kesihatan, tenaga dan industri kreatif yang berpotensi memberi pulangan tinggi,” jelasnya.

Encik Mohd Hairi berkata beberapa produk koperasi juga dilaporkan telah menunjukkan perkembangan positif untuk menembusi pasaran Singapura.

“Antaranya ialah cuka madu epal keluaran Koperasi Keluarga Haji Rahmat Pontian Berhad yang dihasilkan pengilang peralatan tulen (OEM) melalui sokongan ‘Groom Big’ dan sabun pencuci pakaian jenama Kairos keluaran Koperasi Pelabuhan Johor Berhad.

“Ini termasuk produk arnab perap keluaran Koperasi Komuniti Hybrid Selatan Berhad yang dibangunkan selepas menerima bantuan pembinaan rumah sembelihan bagi meningkatkan kapasiti penyediaan karkas,” katanya.

Keseluruhan usaha itu menunjukkan komitmen Kerajaan Johor dalam memantapkan ekosistem perniagaan koperasi, sekali gus menjadikan Johor sebagai pemain penting dalam rantaian perdagangan serantau selaras dengan aspirasi JS-SEZ.

“Kita juga yakin bahawa peningkatan eksport produk koperasi bukan sahaja mampu merancakkan ekonomi negeri, tetapi turut membuka ruang pendapatan baru kepada ribuan ahli koperasi di seluruh Johor,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg