MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) menyajikan 42 menu berbeza bagi juadah makan tengah hari dan malam demi memastikan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci tidak mudah jemu dengan makanan disediakan.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Encik Mohd Hisham Harun, berkata pihaknya turut memastikan makanan disediakan sepanjang musim haji 1446H/2025M berkhasiat dan menepati piawaian pemakanan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lapor laman Sinar Harian.
“Kita bukan sekadar memastikan makanan itu sedap, tetapi menggunakan bahan mentah yang halal dan bermutu tinggi. Sekurang-kurangnya 80 peratus rasa makanan itu menepati citarasa Malaysia.
“Di Makkah menu yang sama diulang selepas dua minggu bagi memastikan variasi serta mengelakkan rasa jemu dalam kalangan jemaah manakala di Madinah menu sama hanya sekali,” katanya kepada pemberita di pusat operasi Makkah Kitchen di sini.
Menurut beliau, tujuh dapur kini beroperasi penuh bagi tujuan penyediaan makanan jemaah iaitu di Hotel Anwar Movenpick dan Emaar Royal di Madinah manakala lima lagi di di Makkah iaitu Al Wafa Catering, Fawzy Abo Rozeyza, Tadco Catering, Mohsen Al Amoudi dan Nakha Alia Catering.
Katanya, seramai 17 cef didatangkan khas dari Malaysia bagi mengekalkan citarasa tempatan dalam setiap sajian selain pelbagai rempah pracampur seperti rempah kari, sambal dan sebagainya dibawa dari tanah air.
Encik Mohd Hisham berkata pada waktu puncak, lebih tiga tan beras, lima tan protein termasuk daging dan ikan serta 2.5 tan sayur-sayuran digunakan untuk satu hidangan.
“Setiap makanan dimasak, dimasukkan ke dalam bekas khas dan dihantar ke bangunan penginapan jemaah di Makkah. Ia diletakkan dalam alat pemanas bagi memastikan ia kekal panas dan segar.
“Jemaah dinasihatkan untuk makan dalam tempoh dua jam selepas diterima bagi mengekalkan mutunya.
“Setakat ini maklum balas daripada jemaah sangat positif, makanan sedap dan tiada yang memberi penilaian negatif,” katanya.
Menurut Encik Mohd Hisham, proses penyediaan dan pengendalian makanan dikawal ketat oleh TH, KKM serta pihak berkuasa Arab Saudi yang menjalankan pemeriksaan berkala ke atas premis dapur.
Bagi musim puncak di Masyair pula, katanya, makanan akan disediakan dalam bentuk ‘ready-to-eat’ menggunakan teknologi retort iaitu proses pembungkusan kedap udara dan tahan lama yang dibekalkan oleh syarikat dari Malaysia dan Asia Tenggara.
Dalam pada itu, Pengarah Operasi Katering, Encik Rashidi Razali @ Ghazali, berkata seramai 500 petugas mengendalikan sektor makanan dengan latihan serta saringan kesihatan diwajibkan kepada pekerja sebelum dibenarkan bekerja.
“Setiap pekerja perlu hadiri kursus selama dua hari dan jalani pemeriksaan kesihatan serta diberi suntikan.
“Mereka akan diberikan kad kesihatan sebelum dibenarkan bertugas. Kalau tak ikut, mereka boleh didenda oleh pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg