Topik diikuti
Pergi ke BHkuJerebu di M’sia dijangka berlarutan hingga awal 2027
Ramalan turut berdasar fenomena El Nino yang ditingkat ke tahap Super El Nino pada Nov-Dis sebabkan cuaca lebih panas dan kering
Jerebu di M’sia dijangka berlarutan hingga awal 2027
KUALA LUMPUR: Masalah jerebu di Malaysia dijangka berlarutan hingga awal 2027 berdasarkan cuaca panas dan kering yang berterusan, selain berlaku pembakaran, termasuk di kawasan terbuka.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata jangkaan itu turut disumbangkan oleh fenomena El Nino yang berlaku ketika ini dan diramal meningkat kepada Super El Nino pada November hingga Disember, yang berpotensi berterusan sehingga awal 2027.
Menurutnya Monsun Barat Daya yang berlaku serentak dengan fenomena El Nino dijangka berterusan hingga pertengahan 2027 yang menyebabkan taburan hujan yang lebih rendah serta cuaca yang lebih panas dan kering.
“Negara sedang berhadapan dengan El Nino kuat dan berpotensi mencapai tahap ‘Super’ (sangat kuat) bermula Oktober hingga Januari 2027.
“Keadaan kering berpanjangan akan meningkatkan risiko berlaku kebakaran terbuka, terutama di kawasan mudah terbakar, sekali gus berpotensi memburukkan keadaan jerebu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Arthur berkata berbanding masalah jerebu sebelum ini, ia berlaku dalam tempoh antara satu dengan dua bulan sebelum cuaca kembali pulih seperti sediakala.
Beliau berkata tanpa hujan dan cuaca yang semakin panas, keadaan jerebu sedia ada akan bertambah buruk.
Menurut Datuk Arthur, Malaysia akan membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah di republik itu, termasuk menyediakan keupayaan pemadaman kebakaran dari udara serta operasi pembenihan awan (OPA).
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, bersetuju menerima tawaran Malaysia untuk membantu memadam kebakaran hutan di Kalimantan.
Ia susulan surat rasmi yang dihantar kepada Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia pada 9 September lalu bagi mengekang lebih 1,400 titik panas yang dikesan.
Bantuan ditawarkan merangkumi operasi pengeboman air dari udara menggunakan helikopter, sokongan pemadaman menggunakan pesawat tentera dan pelaksanaan OPA.
“Bentuk dan skop bantuan akan diperinci bersama pemerintah Indonesia berdasarkan keperluan dan kesesuaian keadaan di lapangan serta tertakluk kepada persetujuan agensi kedua-dua negara,” katanya.
Pada 19 September lalu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika berada di Jakarta, berkata Indonesia menerima tawaran Malaysia untuk membantu memadam kebakaran hutan di republik itu yang menyebabkan jerebu berlarutan beberapa minggu.
Datuk Zahid berkata Malaysia turut bersetuju dengan perancangan jangka panjang bagi mencegah kejadian jerebu akibat kebakaran hutan daripada berulang, yang turut berlaku di Sumatera dan beberapa wilayah lain di Indonesia.