Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk Kalimantan Barat saman pemerintah Indonesia berhubung kebakaran hutan
Penduduk Kalimantan Barat saman pemerintah Indonesia berhubung kebakaran hutan
PONTIANAK: Kumpulan masyarakat adat dan pertubuhan awam di Kalimantan Barat memfailkan saman berkumpulan terhadap pemerintah pusat dan pentadbiran tempatan Indonesia dengan mendakwa pihak berkuasa gagal mengambil langkah mencukupi untuk mencegah serta menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin serius di wilayah itu.
Saman itu difailkan di Mahkamah Daerah Pontianak pada 17 September oleh gabungan pertubuhan di bawah nama Nafas Kalimantan Barat.
Plaintif mendakwa kesan kebakaran hutan dan tanah gambut terus mengancam kesihatan penduduk serta merosakkan alam sekitar sehingga memerlukan campur tangan lebih besar daripada pemerintah.
Gabungan itu termasuk cawangan Kalimantan Barat Perikatan Masyarakat Adat Nusantara (Aman), kumpulan alam sekitar Laman Puyung Indonesia, sebuah pertubuhan belia Katolik tempatan dan aktivis Sisilius Rami.
Peguam yang mewakili plaintif, Encik Glorio Sanen, berkata penilaian mereka mendapati penyelarasan antara pemerintah pusat, kementerian dan pentadbiran tempatan masih tidak mencukupi untuk mencegah serta menangani kebakaran.
Menurutnya, skala kesan kebakaran terhadap kesihatan awam dan alam sekitar sepatutnya mendorong tindakan pemerintah yang lebih besar.
Saman itu menamakan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto; Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka; Gabenor Kalimantan Barat, Encik Ria Norsan, beberapa menteri dan ketua agensi pemerintah sebagai defendan.
Turut dinamakan ialah 12 bupati (Ketua Daerah) dan dua datuk bandar di Kalimantan Barat.
Antara tuntutan utama plaintif ialah supaya mahkamah mengarahkan pemerintah mengisytiharkan kebakaran itu sebagai bencana nasional.
Mereka berhujah bahawa skala kebakaran sudah melebihi kemampuan wilayah untuk menanganinya dan pengisytiharan tersebut diperlukan bagi membolehkan lebih banyak sumber kewangan serta bantuan digerakkan.
Kalimantan Barat kini antara wilayah paling teruk terjejas akibat kebakaran di Indonesia.
Data Kementerian Kehutanan menunjukkan hampir 40,000 hektar hutan dan tanah gambut terbakar di wilayah itu antara Januari dengan Julai.
Krisis kebakaran turut memberi kesan besar terhadap kesihatan penduduk.
Menurut saman itu, jumlah kunjungan ke kemudahan kecemasan berkaitan masalah pernafasan meningkat dengan ketara sejak Julai, manakala lebih 160,000 penduduk Kalimantan Barat dilaporkan mengalami masalah pernafasan sehingga Ogos.
Pada 20 September, kebanyakan stesen pemantauan udara di wilayah itu merekodkan paras pencemaran yang berbahaya.
Ketua AMAN Kalimantan Barat, Encik Tono, berkata jerebu terus menyelubungi perkampungan masyarakat adat dan menjejaskan penduduk yang menurutnya paling kurang menyumbang kepada punca kebakaran.
Plaintif juga mahu pemerintah memperketat pemantauan terhadap syarikat yang memegang konsesi perladangan dan perlombongan, terutama operasi yang terletak di kawasan tanah gambut yang telah dikeringkan.
Mereka mendakwa sebahagian besar titik panas di Kalimantan dikesan dalam kawasan konsesi kelapa sawit, ladang kayu pulpa dan perlombongan.
Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) turut dinamakan dalam saman itu.
Plaintif mendakwa agensi tersebut gagal menggerakkan usaha memadam kebakaran dengan cukup pantas, selain mempersoalkan peruntukan bagi langkah pencegahan dan pengurusan bencana.
Ketua BNPB, Leftenan Jeneral Suharyanto, berkata beliau menghormati proses undang-undang itu tetapi belum dapat memberikan ulasan terperinci kerana agensinya belum menerima pemberitahuan rasmi daripada mahkamah.
Saman tersebut difailkan ketika Indonesia berdepan kebakaran hutan paling buruk dalam tempoh 11 tahun.
Menteri Kehutanan, Encik Raja Juli Antoni, memberi amaran kebakaran boleh berterusan sehingga awal November berikutan musim hujan yang dijangka bermula lewat.
Kebakaran yang berlarutan selama beberapa bulan turut menyebabkan jerebu merentas sempadan dan menjejas mutu udara di beberapa negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura.
Dalam usaha memperkukuh operasi memadam kebakaran, Encik Prabowo menerima tawaran bantuan Malaysia selepas bertemu Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Hambalang, Jawa Barat, pada 18 September.
Malaysia menawarkan sebuah pesawat amfibi Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota untuk membantu operasi memadam kebakaran di Kalimantan.
Indonesia juga meningkatkan tindakan terhadap pihak yang disyaki menyebabkan kebakaran.
Encik Prabowo pada 17 September menggesa hukuman lebih tegas terhadap mereka yang menggunakan api untuk membuka tanah, termasuk syarikat yang didapati melanggar undang-undang.
Polis ketika itu telah membuka 219 siasatan jenayah, menamakan 162 suspek dan meneliti 95 syarikat.
Pemerintah Indonesia turut menegaskan komitmennya terhadap Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, yang menyediakan kerangka kerjasama serantau bagi menangani kebakaran dan jerebu. – Agensi berita.
