BATU PAHAT: Semua sekolah, taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) di seluruh daerah Batu Pahat, Johor, diarahkan tutup bermula 7 Oktober, berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi paras 200 iaitu pada tahap sangat tidak sihat.

​Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat dalam kenyataan memaklumkan bacaan IPU di daerah berkenaan mencatat angka 203 pada malam 6 Oktober.

​Kenyataan itu memaklumkan penutupan berkenaan dibuat selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan serta garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara.

​“Pihak sekolah hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan oleh KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat, tertakluk kepada arahan dan garis panduan yang berkuat kuasa.

​“Pihak sekolah juga perlu memaklumkan kaedah pelaksanaan PdPR, tugasan murid serta saluran komunikasi kepada ibu bapa atau penjaga melalui saluran rasmi sekolah,” kata kenyataan itu, lapor laman web, Astro Awani.

Sementara itu laman web, Berita RTM melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata 159 sekolah agama dan institusi pengajian Islam swasta di daerah Batu Pahat ditutup pada 7 Oktober, menyusuli keadaan jerebu pada tahap sangat tidak sihat.

Jelasnya arahan penutupan dilaksanakan selaras Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi mengutamakan keselamatan dan kesihatan warga sekolah termasuk murid.

“Penutupan itu membabitkan 106 Sekolah Agama Kerajaan Johor termasuk Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) serta 53 Institusi Pengajian Islam Swasta (IPIS) yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ),” katanya dalam satu kenyataan.

Keadaan itu turut memaksa peperiksaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober ditangguhkan ke tarikh lain.

Sementara itu, keadaan jerebu di seluruh Malaysia kembali buruk dengan 35 kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 10 pagi, 7 Oktober.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (Apims) Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan Batu Pahat di Johor dan Johan Setia di Selangor mencatatkan bacaan IPU tertinggi pada 190.

Ia diikuti Cheras, Kuala Lumpur dan Nilai, Negeri Sembilan, masing-masing 189 serta Putrajaya (187).

IPU tidak sihat turut dicatatkan di beberapa kawasan lain di Selangor, iaitu Shah Alam (180), Petaling Jaya (176), Banting (176) dan Klang (169), manakala Batu Muda (177).

Di Johor pula, Segamat merekodkan bacaan IPU 177; Pasir Gudang (173); Tangkak (169); Larkin (167); Pengerang (165); Kota Tinggi (164) dan Kluang (161).

Negeri lain yang turut terjejas ialah beberapa kawasan di Negeri Sembilan; Perak, Terengganu dan Sabah.