Topik diikuti
Pergi ke BHkuJerebu di M’sia kembali buruk, 33 kawasan di 9 negeri rekod indeks tidak sihat
Kawasan paling terjejas direkodkan di Selangor
Jerebu di M’sia kembali buruk, 33 kawasan di 9 negeri rekod indeks tidak sihat
KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Malaysia kembali buruk apabila 33 kawasan di serata negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pada 30 September.
Antara negeri terjejas ialah Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Terengganu, Perak dan Sarawak yang merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat pagi 30 September.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kawasan paling terjejas direkodkan di Selangor dengan bacaan IPU tidak sihat 176 di Johan Setia, diikuti Cheras (173); dan Shah Alam (170).
Selain itu Nilai di Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU 171, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Turut merekodkan bacaan melebihi 160 ialah kawasan Batu Muda (166) dan Klang (163) di Selangor; Putrajaya (165); Seremban, Negeri Sembilan (164); serta Indera Mahkota dan Balok Baru di Kuantan, Pahang masing-masing mencatat bacaan 163.
Di kawasan lain di Selangor iaitu Petaling Jaya merekodkan bacaan 161 dan Banting (160); manakala Kuala Selangor mencatat 154.
Mengikut APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memberi kesan kepada golongan sensitif, termasuk kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan jantung.
Johor antara negeri paling terjejas apabila beberapa stesen merekodkan bacaan IPU tidak sihat, termasuk Pasir Gudang (169), Larkin (165), Kota Tinggi (160); Pengerang (155); Batu Pahat (154); Tangkak (152) dan Kluang (131).
Di Melaka pula, Bandaraya Melaka merekodkan bacaan 160, diikuti Bukit Rambai (156) dan Alor Gajah (136).
Sementara itu, di Terengganu, Kuala Terengganu merekodkan bacaan 157, manakala Kemaman dan Paka masing-masing 154 dan 152.
Di Perak pula Seri Manjung merekodkan bacaan 154 dan Tanjung Malim (146), manakala IPD Serian, Sarawak mencatat 140.
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, selain memakai pelitup muka jika perlu berada di kawasan terbuka dan mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara melalui laman sesawang APIMS.
Sementara itu, BHM melaporkan Indonesia memberi jaminan akan memperhebatkan operasi membendung kebakaran hutan dan tanah di Sumatera serta Kalimantan bagi menangani ancaman jerebu rentas sempadan yang turut menjejaskan Malaysia.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo, juga memaklumkan, negaranya akan memperkukuh kerjasama dengan Malaysia serta negara Asean lain bagi tujuan berkenaan.
Beliau mengakui usaha itu penting bagi memastikan langkah pencegahan dan pemadaman kebakaran memberi kesan kepada masyarakat serta mengurangkan risiko kebakaran berulang.