Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor agih enam ambulans baru kepada kemudahan kesihatan
Klinik Kesihatan Sungai Mati terima sebuah kenderaan selepas ambulans sedia ada sering mengalami kerosakan
TANGKAK (Johor): Kerajaan Johor akan menyumbangkan enam ambulans baru kepada kemudahan kesihatan di seluruh negeri pada 2026 bagi memperkukuh perkhidmatan kecemasan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata Klinik Kesihatan Sungai Mati di Tangkak menjadi antara penerima sumbangan tersebut.
Beliau berkata klinik itu merupakan antara klinik kesihatan paling sibuk di daerah Tangkak dan mencatat kadar penggunaan ambulans yang tinggi, khususnya bagi menangani kes kecemasan.
“Sebelum ini, Klinik Kesihatan Sungai Mati hanya mempunyai sebuah ambulans yang mula mengalami masalah kerosakan.
“Oleh itu, penambahan sebuah lagi ambulans amat diperlukan bagi memastikan perkhidmatan kecemasan kepada penduduk sekitar dapat diberikan dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan pada 21 Ogos.
Encik Ling berkata beliau mewakili kerajaan negeri untuk menyerahkan ambulans itu dan mendengar taklimat daripada pihak pengurusan klinik mengenai keperluan semasa.
Menurutnya, masih terdapat beberapa kemudahan yang rosak dan perlu diganti bagi meningkatkan keselesaan pesakit serta kakitangan.
“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk membantu menyelesaikan perkara yang masih memerlukan penambahbaikan.
“Semoga setiap usaha ini membuatkan petugas kesihatan merasai perhatian dan penghargaan terhadap segala khidmat serta pengorbanan mereka,” katanya.
Pantri kakitangan klinik itu turut menerima peruntukan RM5,000 ($1,571) sebanyak dua kali daripada kerajaan negeri, menjadikan jumlah keseluruhan RM10,000.
Peruntukan berkenaan digunakan untuk menaik taraf pantri tersebut menjadi ruang rehat yang lebih selesa bagi kakitangan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Cik Nadhirah Afiqah Abdull Rahim, berkata penyerahan menerusi Program Ambulans Maju Johor itu amat bermakna kerana klinik berkenaan menyediakan khidmat kepada ramai penduduk setempat.
“Penyerahan ambulans ini dapat membantu melancarkan urusan serta meningkatkan keupayaan memberikan tindak balas kecemasan, khususnya kepada warga Serom yang mendapatkan perkhidmatan di Klinik Kesihatan Sungai Mati.
“Semoga kemudahan yang disediakan ini dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, pantas dan bermutu kepada rakyat,” katanya.
