Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor gesa kerajaan persekutuan pimpin usaha isi kekosongan petugas kesihatan
Kerajaan negeri sudah biayai doktor sambilan, gerakkan 100 sukarelawan dan taja pelajar kejururawatan
JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memimpin usaha menyelaras dan mempercepat pengisian jawatan dalam sektor kesihatan kerana urusan sumber manusia berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata tanggungjawab menangani kekurangan petugas kesihatan tidak boleh terus diletakkan kepada kerajaan negeri semata-mata.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan Johor tidak pernah berpeluk tubuh dan sudah melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan beban rakyat serta petugas kesihatan.
“Sekiranya benar isu utama ialah kekurangan tenaga kerja, maka KKM perlu memimpin usaha menyelaras dan mempercepat pengisian jawatan bersama agensi berkaitan.
“Tanggungjawab ini tidak boleh terus dialihkan kepada kerajaan negeri semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 Ogos.
Encik Ling berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM4.6 juta ($1.4 juta) bagi membiayai penempatan doktor sambilan di Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail dan Hospital Kulai.
Menurutnya, langkah itu bertujuan mempercepat rawatan di jabatan kecemasan serta mengurangkan kesesakan yang dihadapi pesakit.
Kerajaan negeri turut menggerakkan 100 anggota Southern Volunteers di Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Pasir Gudang bagi membantu pengoperasian hospital.
Beliau berkata elaun harian semua sukarelawan itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
“Kerajaan Negeri Johor telah melakukan lebih daripada apa yang menjadi tanggungjawab kami.
“Kami memperuntukkan dana negeri, menggerakkan sukarelawan, membiayai doktor sambilan, membantu melahirkan tenaga kerja kesihatan baharu serta menjalin kerjasama dengan sektor swasta supaya rakyat terus mendapat perkhidmatan kesihatan berkualiti,” katanya.
Encik Ling berkata usaha jangka panjang turut dilakukan bagi melahirkan lebih ramai petugas kesihatan tempatan, termasuk menaja anak daripada keluarga asnaf untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejururawatan.
Menurutnya, bantuan pendidikan turut disalurkan kepada keluarga asnaf dan golongan berpendapatan rendah melalui agensi kerajaan negeri.
Bantuan berkenaan merangkumi dermasiswa, kos pendaftaran ke institusi pengajian tinggi, komputer riba serta insentif pendidikan lain.
Beliau berkata inisiatif tersebut bukan sahaja membantu keluarga yang memerlukan, malah dapat menyumbang kepada pembentukan kumpulan tenaga kerja kesihatan tempatan pada masa hadapan.
“Walaupun pengurusan sumber manusia sektor kesihatan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan melalui KKM, Kerajaan Negeri Johor tidak pernah berpeluk tubuh.
“Sebaliknya, kami mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu memperkukuh sistem kesihatan negeri dan mengurangkan beban yang ditanggung rakyat serta petugas kesihatan,” katanya.
Encik Ling berkata kerajaan negeri akan terus memainkan peranan dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan, tetapi usaha itu tidak dapat menyelesaikan masalah kekurangan kakitangan sekiranya pihak yang mempunyai kuasa melantik dan menempatkan petugas tidak bertindak segera.
Menurutnya, semua pihak perlu memberikan tumpuan kepada penyelesaian dan bukan terus berdebat mengenai pembahagian tanggungjawab.
“Komitmen kerajaan negeri sahaja tidak akan menyelesaikan isu ini jika pihak yang mempunyai kuasa terhadap pengisian jawatan tidak bertindak dengan lebih pantas.
“Rakyat tidak memerlukan perdebatan. Rakyat mahukan penyelesaian. Sudah tiba masanya setiap pihak memikul tanggungjawab masing-masing dan melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya.
