Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengarahkan kerja pembaikan segera dijalankan di Jalan Negeri J165, Gunung Pulai, Kulai, susulan insiden kemalangan yang mengorbankan seorang penunggang basikal warga Singapura pada 14 Jun.
Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kejadian itu sebagai amat memilukan, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku semasa aktiviti riadah yang sepatutnya membawa manfaat kesihatan.
“Saya amat bersimpati atas kehilangan ini. Kementerian memandang serius keadaan jalan terbabit dan telah berhubung dengan pihak Kerajaan Negeri Johor supaya pembaikan segera dilaksanakan menerusi kaedah R01, termasuk kerja grading bahu jalan sebagai langkah awal,” katanya dalam satu kenyataan pada 15 Jun.
Jelas beliau, pemeriksaan mendapati terdapat kerosakan pada permukaan jalan berupa retakan jenis ‘crocodile cracks’ yang dipercayai berpunca daripada penggunaan berlebihan oleh lori berat, khususnya dari kawasan kuari berhampiran.
Meskipun jalan tersebut berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri menerusi peruntukan tahunan disalurkan melalui Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris), KKR tetap prihatin dan mengambil pendekatan proaktif kerana keselamatan pengguna jalan raya adalah tanggungjawab bersama.
“Walaupun kerja menaik taraf bahu jalan telah dilakukan awal tahun ini, kesan beban berat menyebabkan kerosakan kembali berlaku dalam tempoh singkat. Justeru, pembaikan menyeluruh akan dilaksanakan sebaik peruntukan diterima,” kata beliau.
Datuk Nanta turut menyeru agar semua pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah serta pengendali kuari bekerjasama memastikan mutu jalan raya sentiasa berada dalam keadaan selamat bagi mengurangkan risiko kemalangan, khususnya yang membabitkan nyawa.
Beliau turut menasihatkan semua penunggang basikal agar lebih berwaspada dan memilih laluan serta waktu yang lebih selamat, seperti waktu pagi pada hujung minggu, selain memastikan pemakaian topi keledar dan lampu pemantul cahaya serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
“Keselamatan di jalan raya bukan hanya tanggungjawab satu pihak, tetapi perlu digalas bersama oleh semua pengguna termasuk pemandu, pejalan kaki dan penunggang motosikal serta basikal,” tegasnya.
Terdahulu, seorang penunggang basikal warga Singapura maut selepas terjatuh akibat melanggar lubang di jalan sebelum dilanggar sebuah lori treler dalam kejadian di Jalan Negeri J165, Gunung Pulai, Kulai pada 14 Jun.
Ketua Polis Daerah Kulai, Penolong Pesuruhjaya Tan Seng Lee, berkata dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Siasatan awal mendapati mangsa terlanggar lubang di atas jalan raya dan terjatuh sebelum dilanggar sebuah lori treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun dalam perjalanan ke Singapura untuk menghantar batu,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg