Sebuah kereta Ferrari berdaftar di Singapura telah merempuh pengadang jalan sebelum terbakar di lebuh raya di Pahang, pada 16 Mei.
Kereta Ferrari model 458 Spider, iaitu kereta sport dua tempat duduk jenis convertible (boleh dibuka bumbung kereta), sedang dalam perjalanan menuju ke kawasan peranginan Cherating di timur Malaysia ketika kemalangan berlaku sekitar 10.40 pagi, menurut laporan media tempatan.
Kedua-dua pemandu dan penumpang terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, lapor akhbar Sin Chew Daily.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata pemandu kereta itu ialah seorang lelaki warga Singapura berusia 34 tahun yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat (IT).
Teman wanitanya, seorang warga Hong Kong berusia 33 tahun, berada di tempat duduk penumpang.
“Kenderaan itu tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh pengadang jalan, sebelum keseluruhan kereta terbakar,” kata Superintendan Sharif Shai.
Foto-foto selepas kejadian menunjukkan kenderaan itu terbakar hangus dan hanya tinggal rangka di tepi jalan.
Menurut siasatan awal, kereta tersebut merupakan sebahagian daripada konvoi 13 Ferrari yang sedang dalam perjalanan ke Cherating.
Tiada kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan itu, dan pemandu dikenakan denda kerana gagal mengawal kenderaan, lapor akhbar New Straits Times Malaysia.
Polis sedang menyiasat insiden tersebut di bawah Akta Pengangkutan Jalan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg