Johor semakin memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pelaburan pusat data di Malaysia dan rantau Asia Tenggara, dengan kelulusan 42 projek pembinaan pusat data setakat suku kedua 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata perkembangan itu membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan digital utama, sejajar dengan agenda transformasi ekonomi negeri yang berteraskan teknologi tinggi.
Menurutnya, Mesyuarat Pasukan Petugas Pembangunan Pusat Data Negeri Johor dipengerusikannya bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Encik Lee Ting Han.
Pasukan itu telah mempertimbangkan tujuh permohonan baru bagi pembangunan pusat data di kawasan Greater Johor Bahru.
Pasukan itu turut dianggotai beberapa pihak berkepentingan lain.
“Johor mahu pembangunan pusat data bukan sahaja diluluskan dengan pantas, tetapi secara bertanggungjawab, berpandukan keperluan sebenar sumber negeri, sambil mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan pada 29 Julai.
Beliau menegaskan pusat data kini menjadi nadi baru kepada ekonomi digital negeri, selain menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Pelan Digital Johor dan transformasi ekonomi berteraskan teknologi tinggi.
Bagi memastikan pembangunan tersusun, pusat data ditempatkan di kawasan industri terancang seperti Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Sedenak, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang dan Ibrahim Technopolis (Ibtec) di Kulai yang mempunyai akses strategik kepada lebuh raya utama, grid elektrik berkapasiti tinggi, bekalan air mentah dan terawat yang stabil, serta kedudukan berhampiran pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa.
Keluasan tanah industri berstatus terancang yang diperuntukkan untuk pusat data di Johor kini mencecah 7,618 ekar.
Bagi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), kerajaan Johor akan mengehadkan dan mengawal kelulusan baru pusat data bagi memastikan pembangunan itu tidak mengganggu keseimbangan perancangan bandar sedia ada.
Johor juga menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengguna pakai teknologi pusat data bertaraf Tier 4, termasuk sistem penyejukan jimat air ‘air cooler’ serta teknologi rawatan semula air oleh Indah Water Konsortium (IWK) melalui kerjasama dengan Johor Special Water.
Proses kelulusan projek pula menitikberatkan aspek kawalan bunyi, kawalan haba, reka bentuk seni bina, keupayaan tenaga serta pengurusan risiko bencana dan alam sekitar.
Semua pelabur juga diwajibkan menggabungkan ciri-ciri tenaga boleh diperbaharui dalam pembangunan mereka.
“Setiap pelabur mesti bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan dengan gaji berpatutan dan latihan kemahiran bersesuaian.
“Inilah pendekatan Johor dalam mengimbangi kemajuan ekonomi dengan keadilan sosial agar manfaat pembangunan dirasai rakyat, bukan sekadar pelabur,” jelas Datuk Mohd Jafni.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg