Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor beri tumpuan aspek pendidikan, perlindungan sosial, ekonomi khusus buat wanita

Sep 15, 2025 | 2:08 PM
Johor, dana perkasa wanita, keluarga dan masyarakat
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail (kanan), menyerahkan bantuan Dapur Kasih Johor kepada golongan memerlukan. - Foto FACEBOOK KHAIRIN-NISA ISMAIL

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan memberi fokus kepada aspek pendidikan, perlindungan sosial, ekonomi dan keluarga khusus buat wanita agar tiada kaum hawa di dalam negeri itu yang tersisih.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail, berkata inisiatif berkenaan selari dengan hasrat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, untuk mendekati golongan wanita di peringkat akar umbi agar mereka dirai, dihargai dan terus diberi ruang melangkah maju bersama arus pembangunan negeri.

Menurutnya, masih ramai wanita berdepan cabaran besar, termasuk mendidik anak seorang diri, mencari rezeki dari rumah atau kekurangan akses kepada pendidikan, kemahiran dan peluang ekonomi.

“Atas kesedaran inilah dalam Belanjawan Johor 2025, kerajaan negeri memperuntukkan RM351 juta ($106 juta) bagi pembangunan wanita dan keluarga menerusi 16 inisiatif utama.

“Ia meliputi bantuan kewangan bulanan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, program pemerkasaan ekonomi wanita, kemudahan penjagaan anak dan perlindungan mangsa keganasan rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 September.

Selain itu, dua inisiatif baru turut diumumkan pada 11 September iaitu Skim Bantuan Perniagaan (SKIPP) berjumlah RM525,000 untuk membantu 150 wanita memulakan atau mengembangkan perniagaan, serta Insentif Pesona Ibu Tunggal (i-Pesona) berjumlah RM5 juta yang memberi manfaat kepada lebih 16,000 ibu tunggal di serata Johor.

“Setiap ibu tunggal menerima bantuan tunai RM300. Ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa responsif terhadap keperluan semasa, khususnya dalam pemerkasaan ekonomi dan sokongan sosial wanita,” kata Cik Khairin-Nisa.

Menteri Besar turut mengumumkan tujuh inisiatif tambahan berjumlah RM10.8 juta ketika Mesyuarat Dewan Negeri Johor pada 11 September. Ia memberi manfaat secara langsung kepada warga emas, anak yatim, golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan usahawan kecil.

Antaranya termasuk bantuan tunai sekali sahaja kepada warga emas (RM3.45 juta), anak yatim (RM274,000), pelatih pusat pemulihan dalam masyarakat orang kurang upaya (OKU) (RM789,000), bantuan kepada pusat jagaan anak yatim (RM725,000), Program Jenguk Jiran (RM112,000), Skim Peralatan Perniagaan (RM525,000) serta insentif i-Pesona bernilai RM5 juta.

Cik Khairin-Nisa menegaskan bahawa langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan Johor untuk memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat terbela.

“Wanita Johor mesti terus berdaya tahan, berdikari dan mampu menjadi inspirasi generasi akan datang. Inisiatif ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg