Kerajaan Johor menegaskan komitmennya menangani isu buli secara menyeluruh dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Antibuli, menjadikannya negeri pertama di Malaysia melaksanakan usaha bersepadu melibatkan pelbagai agensi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail, berkata mesyuarat penyelarasan yang diadakan pada 18 Ogos bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, itu telah merangka pelan tindakan menyeluruh yang menekankan pendidikan, kesedaran masyarakat serta campur tangan awal.
“Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pendekatan pencegahan buli melalui pendidikan, kesedaran masyarakat, serta campur tangan awal di sekolah, institusi pengajian, tempat kerja dan masyarakat.
“Ia turut menggariskan panduan pengurusan kes buli yang lebih menyeluruh dan teratur agar setiap laporan ditangani dengan cepat, berkesan dan berperikemanusiaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital KPJ Puteri di Johor Bahru pada 18 Ogos.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri komited menyampaikan mesej jelas bahawa “Buli Bukan Budaya Johor” dan setiap anak Johor berhak hidup dalam suasana selamat, bermaruah dan bebas daripada sebarang bentuk ancaman fizikal mahupun emosi.
Dalam lawatan ke hospital berkenaan, Cik Khairin-Nisa bersama Encik Aznan menziarahi Izzul Islam Azuan Isaidi, murid sekolah rendah berusia 10 tahun yang kini mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selepas didakwa menjadi mangsa kejadian buli pada 7 Ogos di SK Taman Universiti 2, Skudai.
“Alhamdulillah, keadaan adik Izzul kini stabil dan masih dalam pemantauan doktor. Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, dia akan dibenarkan pulang ke rumah dalam masa terdekat,” katanya.
Izzul merupakan anak keempat daripada enam beradik dan keluarganya menerima bantuan bulanan RM1,000 ($303) di bawah skim Bantuan Kanak-Kanak (BKK) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 2022 selain sokongan segera termasuk bantuan psikososial dan sesi kaunseling.
Selain itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut menyalurkan bantuan RM500 sebulan bagi menampung kos perubatan.
Sementara itu, Encik Aznan berkata kerajaan negeri turut memperhalusi garis panduan sedia ada daripada Kementerian Pendidikan dengan memberi penekanan kepada kempen kesedaran melibatkan guru dan ibu bapa.
“Prosedur operasi standard (SOP) kementerian memang sudah ada, cuma kita ingin memperkukuh dengan lebih banyak kempen kesedaran untuk guru dan ibu bapa. Pendidikan mengenai kesan buli dan cara mengendalikannya mesti bermula di peringkat sekolah dan rumah,” katanya.
Mengulas mengenai kejadian melibatkan Izzul, beliau menegaskan bahawa kes itu masih dalam siasatan polis.
“Saya akan memastikan pemantauan rapi terus dilakukan agar kes ini dapat diselesaikan sebaiknya. Buli tidak boleh diterima dalam mana-mana keadaan,” tegasnya.
Beliau menambah bahawa pelbagai cadangan telah dikemukakan dalam mesyuarat penyelarasan termasuk penganjuran program campur tangan di sekolah, pengukuhan saluran aduan dan bimbingan psikososial kepada mangsa.
“Anak Johor mesti dilindungi, sekolah mesti jadi tempat yang selamat, ibu bapa perlu ambil berat dan buli mesti dihapuskan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg