JOHOR BAHRU: Cadangan memperoleh 12 set tren baharu KTM Komuter Selatan bagi meningkatkan kapasiti dan kekerapan perkhidmatan antara perkara yang dibincangkan kerajaan Johor dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata perbincangan itu turut menumpukan penyelarasan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan trafik di bandar Johor Bahru.

Menurutnya, peluasan Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) Johor Bahru 2.0 yang dilancarkan baru-baru ini menjadi antara tumpuan utama, khususnya dalam persediaan menjelang operasi Sistem Transit Laju (RTS) Link.

“Tumpuan diberikan kepada penyelarasan pelaksanaannya bagi memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan bas, serta memastikan kesiapsiagaan sistem pengangkutan awam menjelang bermulanya operasi RTS Link,” katanya dalam kenyataan pada 14 Oktober.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan, Dr Nor Fuad Abdul Hamid, di Putrajaya.

Encik Fazli berkata penyelarasan Projek Menaik Taraf Infrastruktur dan Sistem Landasan Berkembar (KVDT2) turut diberikan perhatian bagi mengurangkan gangguan perjalanan tren, khususnya perkhidmatan menuju ke Johor Bahru.

Isu keselamatan landasan juga dibangkitkan susulan kejadian pencerobohan gajah liar di jajaran Mengkibol–Rengam yang menyebabkan kerosakan pagar keselamatan.

Menurutnya, kerjasama antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, serta agensi berkaitan perlu diperkukuh bagi mencari penyelesaian jangka panjang.

Langkah itu penting untuk menjaga keselamatan penumpang dan memastikan operasi tren berjalan lancar.

“Matlamat kita adalah untuk memudahkan perjalanan harian rakyat, menyediakan lebih banyak pilihan pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Encik Fazli berkata beliau mengadakan lawatan kali keempat dalam tempoh sebulan ke Loji Rawatan Air (LRA) Semangar, Kota Tinggi, bagi memantau kemajuan projek.

Beliau menekankan bahawa pemantauan mingguan perlu disusuli tindakan segera terhadap sebarang isu yang boleh menjejaskan jadual pelaksanaan.

“Tambahan kapasiti air terawat ini penting untuk memenuhi keperluan harian rakyat serta menyokong pembangunan Johor.

“Sebab itu, saya terus menekankan komitmen semua pihak untuk memastikan setiap peringkat kerja dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut mengadakan perbincangan bersama Ranhill SAJ dan pasukan pelaksana Projek Pembangunan Infrastruktur Bekalan Air di Wilayah Iskandar, bagi meneliti jadual serta perkembangan kerja.

Projek itu melibatkan pengezonan semula sistem agihan air, pembinaan saluran paip utama baharu serta penyediaan stesen pam dan tangki takungan bagi meningkatkan kecekapan serta kapasiti agihan.

Menurut Encik Fazli, penyelarasan bersama agensi teknikal perlu diperkukuh, khususnya berkaitan kelulusan, pengambilan tanah dan jajaran utiliti.

“Segala isu yang boleh menjejaskan garis masa projek perlu ditangani segera supaya pelaksanaannya dapat dipercepat dan berjalan dengan lancar,” katanya.

Projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada pengguna di daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi, termasuk kawasan Sedenak.